ADS
mk-logo
Berita
Bil panda RM30 juta sepatutnya dibelanja untuk zoo, kata MP

Wang sebanyak RM30 juta yang dibelanjakan untuk menempatkan tiga ekor panda di Zoo Negara, sepatutnya dibelanjakan untuk zoo itu, kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

"Keadaan zoo kita adalah menyedihkan. Mereka sepatutnya membelanjakan wang itu untuk menaik taraf keseluruhan zoo negara.

"Kita tidak sepatutnya berbelanja sedemikian sedangkan binatang sedia ada dan kemudahan zoo bukan berada dalam keadaan yang baik," kata Zuraida.

Awal hari ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM25 juta sepanjang tahun 2014 hingga 2016 untuk penjagaan tiga ekor panda di negara ini.

Sepanjang tempoh yang sama, Zoo Negara membelanjakan RM4.8 juta untuk bintang berkenaan.

ADS

"Perbelanjaan keseluruhan pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda di Zoo Negara untuk tahun 2014 - 2016 adalah berjumlah RM30,214,186" katanya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zoo Negara kini menjadi hos kepada tiga panda - Xing Xing, Liang Liang dan anak pasangan itu, Nuan Nuan.

Wan Junaidi sebelum ini mendedahkan bahawa Zoo Negara membelanjakan RM2.25 juta setiap tahun untuk operasi dan penyelenggaraan kos untuk penempatan panda berkenaan.

Syarat-syarat perjanjian itu juga mengkehendaki Malaysia membuat bayaran sebanyak AS$600,000 kepada China berikutan kelahiran Nuan Nuan pada ulang tahun pertamanya.

Nuan Nuan dilahirkan pada Ogos 18 tahun lalu dan akan diserah kembali kepada China ketika ia berusia dua tahun.

Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan selama 10 tahun kepada Malaysia.

Permintaan itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuannya dengan perdana menteri China ketika itu, Wen Jiabao pada tahun 2012. Ia sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Ketika ini, bayaran masuk ke zoo negara adalah RM44 untuk orang dewasa manakala kadar bagi penduduk Asean adalah RM63. Pengunjung dari negara lain dikenakan bayaran RM85.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS