Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adnan kepit pen guna jari kaki kejutkan DUN
Diterbitkan:  Sep 8, 2016 9:27 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini dikejutkan apabila menteri besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob menanggalkan kasut dan mengangkat kaki ke mukanya.

Adnan kemudian meletakkan pen di celah jari kaki ketika kakinya diangkat dan bertanya sama ada anggota di dalam dewan boleh melakukan perkara yang sama, lapor Sin Chew Daily.

Menteri besar Pahang itu membuat aksi pelik itu bagi menunjukkan dia berada dalam kesihatan yang baik.

"Saya berpendapat, walaupun kesihatan saya masih hebat, namun tidak ramai dapat melakukan begini," katanya dipetik dari rakaman audio yang diperoleh Malaysiakini.

Terdapat kalangan ADUN wanita dalam dewan beristighfar apabila Adnan bertindak sedemikian. 

Beliau dilapor berkata, sepanjang 18 tahun menjadi menteri besar dan 30 tahun menjadi ADUN, kesihatannya sangat baik namun terdapat dakwaan beliau tidak sihat baru-baru ini.

Adnan berkata beliau hairan dengan khabar angin itu dan memberi jaminan berada dalam keadaan sihat.

Merujuk kepada aksi mengepit pen menggunakan jari kaki itu, Adnan berkata ia membuktikan kesihatannya baik.

ADUN Bilut, Chow Yu Hui, ketika dihubungi berkata beliau hairan dengan tingkah laku menteri besar berkenaan.

"Saya tidak pernah menyangka dia akan melakukan sesuatu seperti itu. Ia adalah mengejutkan dan tidak dijangka," katanya.

Sebelum itu, Adnan mensasarkan PKR kerana menuduhnya rasuah atas penjualan kompleks beli-belah Kuantan Parade, yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Beliau memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk memulakan saman fitnah terhadap mereka yang membuat tuduhan sedemikian.

Adnan juga menafikan salah laku berkenaan dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS