Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wajib tampal setem cukai rokok mulai 1 Okt
Diterbitkan:  Aug 5, 2016 6:28 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Semua pengilang rokok tempatan wajib menampal setem cukai rokok pada kotak rokok keluaran tempatan bermula 1 Oktober ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata tempoh peralihan penggunaan setem cukai rokok dilakukan secara berperingkat bermula 1 Ogos lepas hingga 30 September ini.

"Untuk makluman, kotak-kotak rokok yang telah ditanda dengan cetakan dakwat keselamatan hanya dibenarkan berada di pasaran sehingga 31 Mac 2017.

"Selepas tarikh itu, pihak pengilang hendaklah menarik balik semua
kotak-kotak rokok yang belum dijual dari pasaran," menurut JKDM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya penggunaan setem cukai rokok untuk rokok keluaran tempatan bertujuan mematuhi standard antarabangsa dengan menggunakan setem cukai bagi tujuan kutipan duti eksais rokok.

JKDM berkata langkah itu juga dibuat bagi mematuhi garis panduan World Health Organization - Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) iaitu setem cukai rokok dilengkapi dengan keupayaan Track and Trace agar rantaian bekalan tembakau boleh diawasi secara berkesan, selain memelihara dan melindungi hasil negara.

Menurutnya jika pengilang gagal berbuat demikian, JKDM boleh merampas rokok tersebut dan pengilang boleh disabitkan di bawah Seksyen 74, Akta Eksais 1976 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kali kedua, denda dikenakan tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi daripada 40 kali amaun duti eksais atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengilang juga boleh didakwa di bawah Seksyen 89, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun cukai atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kali kedua, denda dikenakan tidak kurang daripada 20 kali ganda dan tidak lebih daripada 40 kali ganda amaun cukai atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang awam diminta melaporkan aktiviti penyeludupan atau penjualan rokok tidak sah kepada JKDM melalui talian hotline penyeludupan JKDM 1-800-88-8855.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS