Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau tetap akan membawa usul supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) Umno akan datang.
Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu beliau sedang menunggu makluman mengenai tarikh mesyuarat berkenaan akan diadakan.
"Tetap (akan bawa usus pemecatan), saya hanya tunggu saja bila tarikh mesyuarat MT," katanya di sidang media selepas membuat lawatan di Pasar Seni di Kuala Lumpur hari ini.
Nazri ditanya media berhubung cadangan memecat Muhyiddin daripada jawatan timbalan presiden Umno dan Mohd Shafie (naib presiden) dan Mukhriz (bekas menteri besar Kedah) selepas kedua-dua mereka memilih bersikap mengkritik Datuk Seri Najib Razak.
Kata Nazri, apabila diberitahu oleh pihak pengurusan parti mengenai tarikh mesyuarat MT dia akan mengemukakan usul berkenaan.
"Apabila saja saya diberitahu (tarikh mesyuarat MT), saya akan bawa usul untuk buang mereka (Muhyiddin, Mukhriz, Shafie)," katanya.
Sebelum ini anggota parlimen Padang Rengas itu berkata beliau memang berhasrat mengemukakan usul memecat Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz daripada Umno apabila mesyuarat MT diadakan selepas pilihan raya Sarawak.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam reaksi balasnya berkata, anggota MT Umno berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan pemimpin parti itu.
Ab Rauf berkata pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap institusi Umno yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti berkenaan.