Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Timbalan menteri kewangan hidup di planet lain?
Diterbitkan:  May 11, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dituntut menjelaskan sama ada rakyat Malaysia terpaksa menanggung keingkaran bayaran 1MDB kepada pemegang bon.

Ini susulan kenyataan Johari bahawa usaha 1MDB memulakan proses rundingan dengan pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar AS adalah langkah yang baik ke arah memulihkan keyakinan dalam pasaran.

Bagaimanapun, anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, berkata Johari mungkin “hidup di planet yang lain”.

Beliau berkata 1MDB kini di ambang keingkaran membayar faedah bon untuk kali kedua dengan AS$1.75 bilion.

Pua berkata 1MDb terpaksa berunding dengan pemegang bon bagi membataskan kerosakan kewangan kepada kedua-dua syarikat dan pemiliknya – Kementerian Kewangan.

“Dan dalam keadaan mengerikan ini, Johari boleh kata semua yang baik-baik, gelar rundingan 1MDB dengan pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat sebagai langkah baik.

“Ini mungkin kenyataan paling tidak bertanggungjawab oleh timbalan menteri kewangan yang baru dilantik, yang menggantikan Ahmad Maslan yang tidak efektif,” kata Pua.

Johari (gambar) semalam berkata pemegang bon perlu diberitahu mengenai pertikaian antara 1MDB dan firma berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), yang membawa kepada keingkaran ke atas nota.

Katanya, 1MDB perlu berkomunikasi dengan pemegang bon kerana tanpa memahami isu, “mereka akan panik tanpa sebab”.

Kelmarin, 1MDB mengumumkan telah melantik Alvarez & Marsal Asia Ltd (A & M) sebagai penasihat kewangannya setelah memulakan proses rundingan dengan pemegang bon susulan keingkaran ke atas nota AS$1.75 bilion dengan kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat).

1MDB turut melantik DF King Ltd, 'Orient Capital Company' (DF King), atau "Ejen Pengenalan dan Maklumat", untuk terus melaksanakan proses pendaftaran dan pengenalan pemegang bon.

Menurut 1MDB, pertemuan bagi semua pemegang bon yang menggunakan mata wang dolar AS akan diadakan pada 23 Mei.

1MDB berkata ia komited untuk bekerjasama secara terbuka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Johari berkata kementerian akan melihat isu-isu berkenaan apabila 1MDB dan IPIC sudah menyelesaikan pertikaian itu di peringkat korporat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS