Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini memaklumkan tempoh menunggu bagi melaksanakan ibadah Haji dilanjutkan kepada 10 tahun lagi berikutan peningkatan mereka yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Sebelum ini, tempoh untuk masyarakat Islam menunggu giliran menunaikan ibadah Haji adalah selama 72 tahun.

"Tempoh menunggu mulai daripada sekarang 82 tahun. Maknanya kalau 100,000 orang mendaftar tabung haji, datang untuk pergi haji, bayar RM1300 dia kena tunggu 82 tahun kalau sempat.

"(Sebagai contoh) campur umur yang saya ada 53 campur 82 ialah 135 (tahun)," katanya ketika hadir dalam Program Bicara Persada ke 29 Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Dalam program itu juga, Jamil turut mendedahkan seramai 33 orang menarik diri daripada menunaikan ibadah haji selepas hilang kepercayaan dan terpengaruh dengan persepsi buruk mengenai institusi itu.

"Saya nak bagi tahu, ada 33 orang yang tarik diri daripada menunaikan haji. Daripada 33 orang ini, empat orang dalam lingkungan empat tahun (lagi) dipilih untuk pergi Haji.

“Mereka menarik diri kerana tidak yakin TH mampu untuk tampung dia pergi haji. Malah ada yang nak minta duit kembali,” kata Jamil Khir.

Ujar Jamil Khir, badan itu menjadi mangsa persepsi dan fitnah sehingga menjejaskan kepercayaan pendepositnya.

"Dalam kes TH telah dibina satu persepsi kononnya TH berdepan masalah kewangan yang meruncing. Aset TH dikatakan tidak cukup untuk bayar pendeposit.

"Akhirnya masyarakat percaya sehingga ada yang tanya kepada saya kenapa tak jelaskan. Minggu depan saya akan buat pengumuman untuk buktikan kita punyai keuntungan lebih RM60 bilion," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS