Ratu dangdut Amelina berkata, penggiat irama itu harus melakukan sesuatu untuk menarik golongan muda.
Tanpa pembaharuan, mustahil untuk memastikan irama itu segar di hati peminat malah dimainkan di corong radio.
“Saya perlu mementingkan produk dan kualiti lagu yang dihasilkan.
“Zaman sudah berubah, dan untuk seiring dengan peredaran masa, saya harus tampil memberi kelainan dengan genre yang dibawakan,” katanya.
Amelina ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta sebuah produk kecantikan di Petaling Jaya semalam.
Penyanyi lagu “Asyik” itu mulai aktif dalam persada seni sejak berumur 20 tahun.
Selepas 15 tahun menghilang, Amelina kini kembali dengan semangat baru.
Lagu terbaru yang berjudul “Cinta Harus Seksi”, percubaan dangdut moden yang diterbitkan pada 2015 pula dilihat seolah kurang mendapat sambutan.
“Untuk kembali ke industri dalam suasana baru, saya akan cuba perbaiki kelemahan mengikut kehendak peminat dan pihak tertentu yang mahu kelainan terutama dari segi lagu.
“Tetapi saya juga perlu sokongan kerana jika tidak diperluaskan irama itu seperti tersekat dan sekiranya ada persatuan yang memperjuangkan suara kita lebih baik,” katanya.