Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: Kemelut di Kedah kerana tamakkan kuasa
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat kemelut politik di Kedah dengan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar menggambarkan ketamakan terhadap jawatan dan kuasa.

“Kemelut di Kedah mencerminkan budaya politik untuk kepentingan diri sendiri.

“Menjatuhkan orang lain untuk merebut kedudukan, inilah yang dikatakan tamak. Tamak terhadap kuasa dan kedudukan,” tulis veteran Umno itu di Facebook nya.

Penyingkiran Mukhriz dibuat selepas majoriti ADUN Umno di negeri itu- diketuai Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha mengekang serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, terutama dalam isu 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion.

"Pelbagai perkara timbul di sekeliling kita, lepas satu, timbul lagi satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dan diikuti dengan beberapa lagi.

"Ia seolah-olah seperti tangan, kaki dan jari terlekat terkena gam yang sukar dibersihkan, perasaan seperti terperangkap di dalam sebuah lubang," kata Rafidah.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga berkata sesebuah parti politik menjadi hancur disebabkan mengejar pangkat dan kuasa.

“Biar menang sorak kampung tergadai. Biar parti hancur asal hasrat peribadi tercapai. Ke mana nak dibawa jawatan, pangkat dan kuasa. Apa ertinya jawatan kalau tidak bekerja dan menunaikan tanggungjawab.

“Tolonglah serius, negara ini tidak mahu lagi penipuan politik. Cukuplah dengan pelbagai isu sebelum ini. Baiki segala kerosakan yang telah berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS