Saya masih ingat perasaan itu—berdiri di halaman masjid kecil di salah satu kawasan di Muar, Johor, tempat saya membesar.
Masjid ini, yang dulunya penuh dengan keceriaan, kini terasa sunyi.
Ada karpet baru, kipas siling berputar megah, malah lampu hiasan bergemerlapan di ruang utama.
Tetapi ada sesuatu yang hilang. Roh masjid itu seakan pudar, tidak lagi mesra, tidak lagi mengundang.
Pernah sekali saya membawa anak saudara saya yang berumur enam tahun ke sana untuk solat Maghrib.
Saya melihat matanya berbinar, penuh teruja, tetapi keterujaan itu mati sebaik sahaja seorang pak cik tua mengherdiknya kerana berlari di serambi.
"Masjid bukan tempat bermain!" katanya dengan suara keras.
Saya hanya mampu menarik nafas panjang. Bukankah Rasulullah SAW sendiri membiarkan cucunya Hasan dan Husain bermain di atas belakangnya sewaktu solat?
“Barang siapa tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak menghormati orang tua kami, maka bukanlah dari golongan kami.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Malangnya, di masjid ini, budak-budak dipandang seperti gangguan, bukan sebagai generasi yang bakal menghidupkan rumah Allah suatu hari nanti.
Ramadan tahun lalu lebih memilukan.
Jika dahulu, selepas solat tarawih, jemaah berkumpul menikmati moreh sambil berborak mesra, tahun ini hanya ada beberapa orang yang duduk sepi, masing-masing terus pulang selepas salam terakhir.
Tidak ada bau kuih ketayap, bubur kacang atau teh o panas yang biasanya menyambut jemaah.
Saya bertanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa, dan jawapannya membuatkan hati saya pedih.
"Tahun ini tak buat moreh. Bajet tak cukup," katanya.
Tetapi peliknya, masjid baru saja pasang pintu kaca baru yang pastinya bukan murah.
Makin eksklusif
Lebih menyedihkan, bukan saja moreh tiada, malah juadah berbuka puasa pun tidak disediakan, walaupun hanya sekadar kurma dan air suam untuk musafir atau orang yang tidak sempat pulang ke rumah.
Saya perasan sesuatu—masjid ini semakin eksklusif.
Golongan tertentu sahaja yang benar-benar "dianggap layak" untuk duduk di saf depan atau terlibat dalam pengurusan.
Jawatankuasa masjid pula lebih sibuk menguruskan tender parkir daripada merancang aktiviti yang mendekatkan masyarakat kepada agama.
Saya teringat sabda Rasulullah SAW:
“Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Barangkali inilah yang sedang berlaku. Masjid itu masih berdiri megah, tetapi jiwanya semakin rapuh.
Di kampung saya dahulu, masjid bukan sekadar tempat solat. Ia pusat pertemuan. Ada kelas mengaji untuk ibu-ibu, ada sesi tadabbur pagi Ahad, ada gotong-royong membersihkan kawasan. Sekarang, semuanya hilang. Masjid ini hanya hidup sebulan dalam setahun—pada bulan Ramadan. Selebihnya, ia hanya menjadi tempat persinggahan solat lima waktu.
Sedangkan pada zaman Rasulullah, masjid bukan sekadar rumah ibadah, tetapi pusat ilmu, pentadbiran, dan kebajikan.
“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Tetapi di sini? Bacaan Yasin malam Jumaat pun semakin kurang orangnya.
Lebih memeranjatkan, ada jemaah yang sering mengeluh tentang imam yang selalu datang lewat. Ada hari, jemaah sudah beratur di saf, tetapi masih menunggu-nunggu.
Akhirnya, ada yang terpaksa menggantikan imam sementara.
Saya bukan mahu menuding jari, tetapi jika solat jemaah pun tidak dapat diutamakan, bagaimana mahu memimpin rohani masyarakat?
"Sesungguhnya pemimpin itu adalah perisai, yang di belakangnya orang-orang berperang dan dengannya mereka berlindung." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kadang-kadang, saya tertanya-tanya, adakah masjid ini benar-benar gagal berfungsi atau kita sendiri yang gagal menghargainya?
Rasulullah SAW telah mengingatkan:
“Akan datang suatu zaman di mana manusia hanya akan memakmurkan masjid-masjidnya dengan binaan yang indah, tetapi mereka tidak menghidupkannya dengan ibadah.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Masjid bukan milik AJK
Mungkin zaman itu sudah tiba. Masjid-masjid kita hari ini semakin gah, tetapi semakin kosong dari segi jiwa.
Mungkin sudah tiba masanya kita kembali kepada asas. Masjid bukan milik anggota jawatankuasa (AJK), bukan milik imam, bukan milik mereka yang merasa lebih tinggi dalam hierarki agama.
Masjid milik semua—termasuk kanak-kanak yang lincah, ibu-ibu yang sibuk, orang tua yang datang bertongkat, dan remaja yang mencari tempat untuk kembali kepada Tuhan.
Jika kita tidak membuka pintu masjid untuk semua, maka jangan salahkan sesiapa apabila suatu hari nanti, masjid itu hanya tinggal bangunan tanpa jiwa.
ONN ISMAIL, pemerhati sosial dan pendidik yang berminat berkaitan hal ehwal antarabangsa dan politik semasa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.