Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | LCS: Dapatan audit forensik buktikan tiada campur tangan politik

Tiga laporan penting berkenaan projek kapal tempur pesisir (LCS) kini terbuka untuk tatapan umum.

Satu laporan prosiding PAC, dua laporan jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan yang terbaru tiga dapatan audit forensik yang dilaksanakan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) selaku pemegang saham BNS (kontraktor LCS) - kini boleh diakses umum.

Maka jelaslah, apa yang diceritakan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai isu LCS sejak beberapa minggu ini bukanlah sebuah pembongkaran baru oleh beliau sendiri.

Rafizi hanya menceritakan semula secara terpilih (menipu dan menghasut) berdasarkan laporan dan dokumen berstatus rahsia, yang beliau telah terima lebih awal.

Dalam erti kata lain, beliau tidak berhasrat untuk bercakap benar dan sengaja menjadikan isu LCS ini untuk membangkitkan sentimen bermain persepsi, sekali gus meraih laba politik.

Dapatan audit forensik telah membuktikan beberapa perkara penting mengenai dakwaan penglibatan pemimpin Umno dan Menteri Pertahanan sekarang Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan sebelumnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak projek LCS ini dimulakan.

Pertama, tidak ada campur tangan menteri pertahanan (Zahid dan Hishammuddin) dalam penentuan pembayaran (termasuk pembayaran palsu) yang dibuat kepada syarikat-syarikat (vendor & OEM) seperti yang disenaraikan dalam laporan audit forensik berkenaan.

Kerugian lebih RM890 juta yang ditanggung oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) adalah disebabkan oleh ‘mismanagement and irregularities’ pihak pengurusan kerana gagal melakukan ‘due process’.

Ini termasuklah beberapa pembayaran yang telah dibuat tanpa mendapat mandat mahupun kelulusan lembaga pengarah.

Kedua, kebocoran dana dan penyelewengan peruntukan disebabkan oleh kelemahan aspek governan, tadbir urus dan pengurusan projek serta penglibatan beberapa individu yang sama dalam semua peringkat pembuat keputusan dan jawatankuasa penting berkaitan pelaksanaan projek LCS ini.

Keberadaan individu yang sama di setiap peringkat pemantauan dan pelaksanaan projek menyebabkan wujudnya situasi percanggahan kepentingan, selain tidak wujud elemen semak dan imbang serta menggugat aspek integriti dan akauntabiliti aspek perolehan, pelantikan vendor/OEM bagi projek LCS ini.

Bila semua elemen ini tidak wujud, maka pelaksanaan projek LCS ini terdedah dengan risiko salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah oleh pembuat keputusan di peringkat pengurusan.

Dalam misi kita untuk mencari kebenaran, maka wajarlah orang ramai memanfaatkan sebaiknya laporan dan dokumen penting berkenaan projek kontroversi LCS yang kini berstatus umum ini.

Janganlah kita membiarkan minda dan pemahaman kita tentang isu ini ditentukan oleh mereka yang bertujuan untuk menghasut.


NOOR AZLEEN AMBROS adalah Exco Pemuda Umno Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS