Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan terlibat dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan.
Bekas perdana menteri itu sebaliknya mendakwa dia ditohmah oleh pihak tertentu.
"Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.
"Sebaliknya ia melalui proses di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana keputusan mengenainya dibuat oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan.
"Jika pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, mahkamah boleh menentukan hak-hak pihak yang terjejas,” kata presiden Bersatu itu dalam kenyataan media hari ini.
Muhyiddin tidak menamakan pihak yang didakwa membuat tohmahan terhadapnya.
Pada Khamis, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dia percaya pihak yang terlibat dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur ketika PN memerintah perlu memberi penjelasan kepada penduduk yang terjejas.
Ini berlaku selepas penduduk mendakwa menteri kabinet dari PN memihak kepada pemaju tanah dan bukannya pemilik tanah semasa rundingan pampasan.
Tuan Ibrahim adalah antara 23 wakil pembangkang yang menghadiri sesi taklimat bersama penduduk Kampung Sungai Baru yang terjejas akibat rampasan tanah.
Semasa perjumpaan itu, pengerusi jawatankuasa pro-tem Kampung Sungai Baru Zainab Alias mendakwa beberapa bekas menteri dan ahli Parlimen memihak kepada pemaju - termasuk Annuar Musa, Shahidan Kassim, dan ahli parlimen Titiwangsa ketika itu Rina Harun.