Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Surat
SURAT | Banjir S’wak makin teruk jika gagal henti kemusnahan hutan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menyuarakan kebimbangan berterusan kami berkenaan kejadian banjir di Sarawak yang semakin kerap dan teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Sebelum penukaran hutan berskala besar mula dilaksanakan untuk tujuan perladangan monokultur, banjir seumpama ini jarang berlaku di kawasan hulu pedalaman Sarawak. 

Adalah hampir pasti, peristiwa banjir seperti ini merupakan sebahagian dari kesan-kesan terhadap alam sekitar yang berlaku akibat dari kehilangan hutan.

Bemula tahun 1990an, produksi kayu balak di Sarawak mula menurun secara beransur-ansur akibat peningkatan kadar pembalakan tidak lestari selama dua dekad sebelumnya. 

Setelah itu, permit-permit mula dikeluarkan untuk perladangan monokultur, khususnya untuk penanaman pokok pulpa dan kertas dan kelapa sawit.

Oleh itu, adalah tidak menghairankan bahawa sejak tahun 2010an, kejadian banjir menjadi semakin kerap dan teruk di kebanyakan kawasan di Sarawak, seperti yang dilaporkan oleh data yang diterbitkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

Pada bulan Mei yang lalu, beberapa kawasan di Baram dilanda banjir teruk sekali lagi. 

Kawasan yang terjejas termasuklah di hulu Baram seperti Mulu, Long Luteng, Long Kawa, Long Ikang, Long Seridan, Long Panai, Long Iman, Long Bemang dan sepanjang kawasan di hilir, seperti Long Lama, Long Laput dan Kampung Cina di daerah Marudi.

Sesetengah kawasan seperti Long Laput dilaporkan dilanda banjir juga pada awal tahun ini. 

Namun, kejadian banjir pada bulan Mei tersebut dikatakan paling teruk, dengan kedalaman air setinggi enam kaki, menurut laporan penduduk kampung. 

Malah, Borneo Post pada 20 Mei melaporkan ketinggian air di beberapa kawasan di Baram mencecah 10 kaki.

Ketika peristiwa banjir ini, sejumlah kemusnahan harta benda juga berlaku, termasuklah keruntuhan Jambatan Tutoh. Arus yang kuat telah menghanyutkan jambatan tersebut, memutuskan perhubungan masyarakat di hulu Baram dari dunia luar.

Sementara itu, MASwings dilaporkan terpaksa membatalkan 30 buah penerbangan selama tiga hari bermula dari dari 20 Mei, kerana air Sungai Lawas telah melimpah ke landasan penerbangan. 

Stesen janakuasa di Mulu pula terpaksa ditutup buat beberapa ketika apabila fasiliti tersebut juga kebanjiran.

Selain itu, beberapa sekolah juga terjejas akibat banjir ini. Sekolah-sekolah yang terjejas telah tidak dapat beroperasi. Ini semua merupakan sebuah kos sosial yang telah dibebankan ke atas para pelajar dan guru.

Borneo Post pada 20 Mei menyatakan bahawa jalan utama ke Sekolah Kebangsaan Long Luteng, yakni sebuah jambatan gantung, telah turut dihanyutkan oleh arus deras. 

Sekolah tersebut dilaporkan telah ditenggelami air sedalam enam kaki.

Kawasan penginapan kakitangan sekolah telah turut terjejas, mengakibatkan para staf terpaksa mencari perlindungan di bilik kakitangan di bangunan sekolah. 

Laporan yang sama juga turut menerangkan bagaimana kakitangan Sekolah Kebangsaan Penghulu Baya Mallang terpaksa memindahkan harta benda milik sekolah tersebut ke tempat yang lebih tinggi kerana air banjir telah mencecah tiga kaki.

Lazimnya, komuniti adalah pihak yang paling terjejas teruk apabila bencana seumpama ini berlaku. 

Pada 5 Februari, Malay Mail melaporkan kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) bahawa 18 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuching dan daerah sekitarnya telah menampung sebanyak 1,056 orang mangsa banjir.

Di Bahagian Miri sahaja, pada 23 Mei, sebanyak 10 buah PPS terpaksa dibuka.

Baru-baru ini, Borneo Post pada 14 Jun melaporkan bahawa pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) telah berganding bahu dengan penduduk kampung setempat untuk membersihkan kayu-kayu balak yang telah dihanyutkan ketika banjir pada bulan Mei tersebut.

Dalam laporan yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat di Miri juga telah menyatakan bahawa kayu-kayu balak tersebut boleh membahayakan para pengguna Sungai Baram dan perahu-perahu mereka.

Kejadian-kejadian ini menunjukkan betapa bahayanya banjir yang sedemikian rupa terhadap sektor ekonomi dan juga masyarakat. Mereka turut memberi kesan buruk terhadap sektor pendidikan kita dan sektor-sektor sosial yang lain.

Bolehkah kawasan-kawasan luar bandar di Sarawak bertahan menghadapi kemungkinan kejadian seperti ini berulang kali terjadi setiap tahun?

Gambar fail, pembalakan di Ulu Baram.

Semua ini menunjukkan betapa pentingnya bagi Sarawak untuk menghentikan penukaran guna tanah hutan dan mengambil langkah-langkah yang patut untuk menangani permasalahan ini, terutamanya apabila kita turut berhadapan dengan kesan-kesan perubahan iklim.

Oleh itu, kami menyokong seruan saudara Roland Engan, seorang peguam dari Baram, agar kerajaan negeri Sarawak mengkaji punca-punca kejadian banjir di beberapa kawasan di Baram ini dan membangunkan sebuah rancangan penyelesaian dan mitigasi.

Mustahak juga bagi Sarawak untuk terus melindungi hutan yang masih ada dan memulihkan hutan yang telah terjejas oleh pembalakan dan aktiviti manusia yang lain.

Penting bagi kerajaan persekutuan dan negeri untuk memahami dan memberi perhatian terhadap hubungan antara penukaran guna tanah hutan dan peningkatan kejadian banjir di Sarawak.

Dalam menghadapi perubahan iklim, kegagalan untuk melakukan perkara-perkara tersebut hanya akan mengundang kesan-kesan yang lebih buruk pada masa yang akan datang.


JOK JAU EVONG ialah Penyelaras Sahabat Alam Malaysia (SAM), Sarawak.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS