Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan sentiasa mencari jalan memastikan pendapatan rakyat meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan dalam usaha menjadikan Malaysia berpendapatan tinggi.

Ia dinyatakan Najib pada 20 Oktober lalu. Beliau mendakwa usaha kerajaan kini mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Ini sebenarnya adalah kenyataan tidak masuk akal kerana realitinya jelas rakyat semakin terbeban dan masih ramai yang hidup dalam kemiskinan.

Perkara ini boleh dilihat sendiri di akhbar dan laporan media setiap hari.

Walaupun median pendapatan bulanan isi rumah meningkat daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,228 pada 2016, dengan kadar pertumbuhan 6.6 peratus setahun pada nilai nominal, namun ia bukan ukuran untuk kerajaan 'berkokok' yang kehidupan rakyat sudah selesa serta lepas daripada kesengsaraan.

Bagaimana pula dengan kenaikkan harga barang yang menyusahkan rakyat dan tidak selari dengan pendapatan mereka?

Kenaikan harga bahan api misalnya yang mengakibat kos pengangkutan meningkat, menyebabkan kesan berantai kepada kenaikan beberapa kos sara hidup lain.

Sebagai contoh Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 (4.5 peratus) kerana peningkatan mendadak kos barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan.

Ini jelas memberikan kesan buruk kepada rakyat. Apakah kerajaan fikirkan perkara ini?

Bukan itu sahaja, peningkatan kadar inflasi juga memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat yang mencatatkan rekod sejak krisis kewangan dunia sedekad lalu.

Bahkan, Malaysia telah merekodkan kadar inflasi sebanyak 4.3 peratus setahun pada September, yang tertinggi sejak Mac ekoran peningkatan kos pengangkutan dan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol.

Selain itu, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga langsung tidak membantu meringankan beban rakyat, sebaliknya menambah beban kepada mereka termasuk menambahkan lagi jumlah miskin bandar.

Jelas rakyat semakin terbeban dan menolak GST sama sekali.

Saya ingin ingatkan Najib, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak membantu menampung hidup rakyat kerana ia hanya pemberian 'one-off' yang bersifat sementara. Berhentilah Najib daripada memperbodohkan rakyat, rakyat sudah buka mata dan bijak menilai.

Saya yakin, pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti semua itu akan dizahirkan oleh rakyat, dengan memilih Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru, sekaligus menolak kerajaan kleptokrasi yang tidak mempedulikan hak dan kepentingan rakyat.


AZAN ISMAIL adalah Pengerusi PKR Terengganu dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS