ADS
story images
story images

Susulan penangkapan dan tahanan lokap ke atas beberapa orang pelajar Malaysia di Mesir pada waktu ini oleh pihak berkuasa Mesir, Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) menyeru pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan kerajaan Malaysia memberi perhatian serius untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera.

ILMAM dimaklumkan bahawa pelajar yang terlibat dengan penangkapan ini ialah mereka yang menuntut di Pusat Kursus Bahasa Arab di Kaherah.

Seperti sedia maklum, mana-mana pelajar yang baru tiba ke Mesir memperoleh visa selama tiga bulan daripada Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

Walaupun demikian, visa tersebut akan tamat tempoh dan peluang untuk memperbaharuinya amat sukar kerana para pelajar masih belum mendapatkan pengesahan pengajian (tasdiq) daripada pihak institusi pengajian.

ILMAM turut dimaklumkan oleh para pelajar Malaysia di Mesir bahawa pihak berkuasa Mesir juga tidak lagi mengakui surat sokongan yang dikeluarkan oleh pihak KBMK kepada pelajar yang belum memperoleh visa.

ADS

Masalah ini dirumitkan lagi apabila pegawai-pegawai tempatan yang dilantik untuk menguruskan pembaharuan visa telah menahan pasport para pelajar sehingga melebihi sebulan untuk diproses hingga mengakibatkan sebahagian pelajar Malaysia kini bukan hanya tidak memiliki visa bahkan pasport mereka juga tidak berada dalam simpanan masing-masing.

Justeru ILMAM menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan yang segera dan konkrit kerana ia melibatkan keselamatan rakyat Malaysia.

Dengan jumlah rakyat Malaysia yang ramai di Mesir serta isu keselamatan pelajar yang sedang berlaku ini, sewajarnya kerajaan Malaysia menyegerakan pelantikan duta besar Malaysia ke Mesir serta menteri penasihat pendidikan, bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ketika ini kekosongannya masih belum diisi.


SYED ABDUL KADIR ALJOOFRE adalah presiden ILMAM.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS