Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amerul 'musykil' mengapa filem bajet rendah layak ke Oscars

Amerul Affendi mengakui dia terkejut apabila Prebet Sapu - sebuah filem bajet rendah - boleh terpilih mewakili Malaysia pada Anugerah Academy (Oscars) ke-94 di Los Angeles, AS, pada 27 Mac tahun depan.

Dia yang diberi tanggungjawab menjayakan peranan utama dalam filem arahan Muzzamer Rahman itu berkata, pada awalnya pihak penerbit hanya berhasrat untuk membawa karya itu ke Festival Filem Asia Jogja-Netpac (JAFF) ke-15 saja.

Malah filem itu dijadual dibawa ke JAFF pun hanyalah untuk tujuan promosi.

Pada masa sama kata Amerul dia juga amat teruja apabila Prebet Sapu akhirnya akan menjengah pawagam tempatan tidak lama lagi.

"Pada awal perbincangan, produksi hanya nak bawa ke Jogjakarta, tapi kemudian 'disambut' oleh penganjur penganjur festival lain pula.

“Saya juga berbangga kerana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memilih Prebet Sapu untuk dinilai di Oscars ke-94, langkah yang sudah semestinya jadi sasaran agensi tu.

“Namun, hingga ke hari ni, saya masih tertanya-tanya mengapakah filem bajet rendah seperti ini dibawa ke Oscars dan bukan karya memakan kos tinggi yang lain,” katanya.

Untuk rekod Prebet Sapu itu akan bertanding bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Rasa kecewa dah 'mati'

Ditanya perasaannya apabila filem itu kini mungkin akan mengubah persepsi segelintir pihak yang sebelum ini hanya mementingkan jumlah pengikut berbanding bakat, Amerul menjawab: “Biarlah mereka fikir sendiri, tak perlu diuar-uarkan lagi.”

Pelakon berusia 35 tahun itu yang sebelum ini mendakwa namanya pernah terpinggir akibat tiada rupa dan tiada pengikut ramai di media sosial berkata, kekecewaannya terhadap mentaliti seperti itu sebenarnya sudah lama “mati.”

“Dulu memang kecewa, sebab tak ada rupa, tak ada pengikut (di media sosial) yang ramai, nama sering ditolak untuk berlakon.

“Tapi lama-kelamaan rasa kecewa tu mati apabila saya jadikan lakonan hanya sebagai hobi dan beralih bidang kepada bercucuk tanam dan penternakan,” katanya.

Amerul berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan perdana Prebet Sapu atau Hail, Driver! di sebuah kompleks beli-belah di Damansara Utama, Petaling Jaya semalam.

Dihasilkan dengan kos hanya RM500,000 namun disertai beberapa nama besar yang sanggup dibayar token, Prebet Sapu terpilih selepas memenuhi beberapa kriteria ditetapkan penganjur Oscars.

Untuk rekod, filem dibikin dengan konsep hitam putih itu juga mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa lain termasuk Udine Far East Film Festival di Itali; Toronto Reel Asian Film Festival (Kanada); Asian Film Festival Barcelona (Sepanyol) dan Innovative International Film Festival (India).

Tak sukar bergandingan

Filem itu memaparkan kisah Aman, seorang graduan yang tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa bergelut dengan masalah ekonomi dengan menjalani kehidupan sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing secara haram.

Aman kemudian bertemu Bella (lakonan Mei Fen Lim) yang menawarkannya tempat untuk tinggal.

Penggambaran Prebet Sapu yang berlatar belakangkan tempoh sewaktu pilihan raya umum itu turut dijayakan pelakon seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun.

Ia dijadual menemui penonton di pawagam tanah air bermula 16 Dis ini.

Berkongsi pengalamannya membawakan watak Aman, Amerul, berkata, dia berdepan cabaran besar untuk merealisasikan karakter itu mengikut skrip dikehendaki pengarah.

“Memang susah. Sebab karya ni memerlukan pelakonnya memaparkan aksi lakonan semula jadi untuk lalui kehidupan seharian.

“Mujur pelakon diwajibkan untuk melakukan rehearsal sebelum masuk set penggambaran.

“Tapi saya tak alami kesukaran untuk bergandingan dengan Mei Fen sebab dia salah seorang pelajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) yang pensyarah di situ kebanyakannya terdiri daripada tenaga pengajar Melayu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS