Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amerul akur nama digugurkan lepas berlakon 10 episod

Amerul Affendi mengakui terpaksa melepaskan watak dipegang selama 10 episod bagi sebuah drama gara-gara mengalami alahan teruk susulan suntikan vaksin Covid-19.

Kata pelakon itu, alahan terhadap vaksin mungkin kes terpencil namun dia reda nasibnya kurang baik selepas mendapatkan suntikan dos pertama.

“Selepas ambil suntikan vaksin dos pertama saya alami masalah kesihatan yang agak teruk iaitu dari segi alahan dan badan pula muncul banyak ruam.

“Hingga ke hari ini saya alami lelah. Saya akui tak bernasib baik dengan vaksin.

“Produksi sedia maklum dengan masalah saya alami pada ketika itu dan mereka kemudian memberitahu terpaksa menggugurkan nama daripada drama tersebut,” katanya.

Drama yang berjudul Jangan Ganggu Jodohku itu akan mula ditayangkan pada 29 November ini.

Drama bersiri 24 episod itu diarahkan pengarah Jamal Khan dan turut dijayakan pelakon seperti Shaza Bae, Yusuf Bahrin, Shah Iskandar, Sabhi Saddi dan Azizan Mahzan.

Ekoran isu kesihatan yang dialaminya, tempat Amerul atau nama penuhnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 35, kemudian digantikan dengan pelakon lain iaitu Aloy Paradoks.

“Aloy diminta menggantikan tempat saya disebabkan saya masih belum lengkap dua dos dan tak dapat nak teruskan penggambaran,” katanya dalam sidang media pengumuman Jangan Ganggu Jodohku yang diadakan secara maya semalam.

Mengulas lanjut, Amerul yang merupakan pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Festival Malaysia ke-27 berkata dia kini dalam pemantauan pihak hospital untuk pengambilan dos kedua vaksin Covid-19.

Dia yang juga pernah dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 menjelaskan, pihak hospital juga masih perlu menentukan jenis vaksin yang bersesuaian untuknya.

Untuk rekod, Amerul pernah mendedahkan bidang lakonan bukan lagi menjadi fokus utamanya malah dia menjadikan kerjaya pertanian dan penternakan sebagai punca rezeki.

Pun begitu, kata pelakon Terbaik Dari Langit itu, dia masih boleh mengambil apa-apa saja tawaran berlakon sekiranya ada pihak produksi berminat untuk menggunakan khidmatnya.

“Tak jadi masalah kerana saya ada surat kebenaran daripada doktor yang mengesahkan mengenai masalah kesihatan dialami.

“Surat itu dikeluarkan oleh hospital kerajaan. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional juga maklum berkenaan isu ni,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS