“Carilah mana-mana wanita (Islam) pun asalkan akhlaknya baik,” demikian nasihat penceramah bebas Haslin Baharim kepada Shuib berhubung ‘khasiat’ ibu susuan untuk bayinya.
Haslin berkata demikian selepas ahli perniagaan, pelawak juga pelakon itu menyatakan kebimbangannya untuk menguruskan dan menyediakan keperluan makanan untuk Ayash Affan yang dilahirkan allahyarham Siti Sarah pada 6 Ogos lalu.
Haslin turut berpesan agar Shuib memilih wanita yang bersedia lebih awal untuk memberi susu kepada Ayash Affan sekurang-kurang lima kali kenyang sebagai syarat sah mengiktiraf wanita itu sebagai ibu susuan bayinya.
“Jika boleh, minta perkenan daripada suami wanita itu juga.
“Pastikan bayi diberi susu sekurang-kurangnya lima kali kenyang dan tak ada khilaf, maka termeterailah secara automatik dia sebagai ibu susuan,” katanya selepas selesai majlis bacaan Yassin dan tahlil buat allahyarham Siti Sarah malam tadi.
Untuk rekod, Siti Sarah melahirkan bayi itu pramatang selepas menjalani pembedahan selama hampir tiga jam bermula jam 2 petang pada 6 Ogos lalu.
Menurut Haslin, Shuib juga harus menitikberatkan soal mahram antara tiga lagi adik-beradik Ayash Affan dengan wanita yang bakal menjadi ibu susuan bayinya itu nanti.
Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Februari 2011. Tiga lagi cahaya mata pasangan tersebut ialah Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.
Shuib berkata, dia digalakkan oleh doktor untuk mempertimbangkan pemberian susu badan dari wanita lain bagi membantu tumbesaran bayinya itu.
Meskipun belum membuat sebarang keputusan, pemilik nama penuh Shahmira Muhamad, itu mengakui ramai wanita sudah menyatakan kesanggupan mereka untuk menjadi ibu susuan Ayash Affan buat ketika ini.
Kata Shuib, 36, tidak terkecuali yang menawarkan susu badan adalah rakan selebriti Syatilla Melvin iaitu isteri kepada pelakon Shaheizy Sam.
“Bercakap fasal persediaan untuk menguruskan Ayash Affan pun saya dah termenung berfikir. Sekarang dia diberi susu formula.
“Namun doktor beritahu sekiranya ada susu ibu boleh dibawa ke hospital. Tapi saya pula fikir, siapa nak bagi? Bagi saya tu memang soalan cepumas.
“Ramai orang tawarkan diri termasuk Syatilla pun ada. Apabila fikir semula, kena juga tahu orang tu minum apa jika dia jadi ibu susuan. Saya tak tahu sangat, nak kena tanya ustaz dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Syatilla menjelaskan melalui Instagram miliknya hari ini, susu badan tersebut adalah milik seorang rakan baiknya yang baru saja selesai berpantang.
Soal pengurusan anak ternyata membuatkan Shuib, terus terkenangkan arwah isterinya yang meninggal akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pada 9 Ogos lalu.
“Arwah pernah kata, dia serahkan soal jaga Ayash Affan nanti pada saya sebab dah tak mahu bersengkang mata bagi susu atau tukar pampers seperti jaga tiga anak yang lain sebelum ni.
“Saya tak sangka, dia memang serah ‘bulat-bulat’ pada saya untuk jaga seorang diri,” katanya.