Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dua ahli Dadali Band meninggal dunia berturut-turut
Diterbitkan:  Jul 13, 2021 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Khabar duka menghimpit band dari Indonesia, Dadali Band, apabila dua anggota mereka meninggal dunia dalam tempoh kurang seminggu.

Berita hiba itu disampaikan vokalis Dadali Band, Dyrga, melalui media sosial hari ini.

“Ya Allah, sekarang pemain keyboardku Rixx meninggal dunia. Selamat jalan sahabatku @Rixxdadali, tenang bersama @yudadadali, ya tunggu kami, nanti kami menyusul kelak,” katanya.

Pada masa sama, Dyrga turut memuat naik perbualan WhatsApp di antara dia dan Rixx atau Rickard di Instagram yang menunjukkan seolah-olah pemuzik terbabit sebelum ini menunjukkan tanda akan pulih.

Dalam perbualan tersebut, Rixx berkata, deria baunya sudah pulih sejak dua hari lalu.

Kali pertama Dadali Band itu diuji dengan kematian anggotanya ialah pada 7 Julai lalu apabila gitaris mereka, Yuda, menghembus nafas terakhirnya namun belum ada sebab yang rasmi punca di sebalik kematian tersebut.

Namun ada pihak yang membayangkan ia berpunca daripada Covid-19.

Dadali merupakan kumpulan muzik yang ditubuhkan pada 2009 dan popular dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu.

Tak ada kekosongan di hospital

Berita sedih bertimpa-timpa itu jelas mengharukan Dyrga dan dia seakan tidak percaya sahabat-sahabatnya pergi sebegitu cepat.

“Yuuddddd, cepat sangat kau meninggalkan aku,” katanya sambil mengiringi hantaran itu dengan emoji menangis.

Selain Dyrga, Yuda dan Rixx, Dadali turut dianggotai oleh dua lagi anggota iaitu pemain bass, Fadel serta pemain drum, Oq.

Sementara itu, khabar duka itu disahkan oleh wakil pihak pengurusan Ascada Musik, Sakti, lapor CNN Indonesia.

Katanya, Rixx meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 dan serta melakukan kuarantin kendiri sejak seminggu lalu.

“Ya, dia meninggal dunia jam 4.50 (waktu tempatan) kerana Covid-19,” katanya.

Menurut Sakti, Rixx hanya menunjukkan gejala ringan Covid-19 selain tahap kesihatannya ada perubahan positif.

Hal itu katanya berbeza dengan keadaan Dyrga, yang sampai mengalami ruam di leher.

Namun, keadaan kesihatan Rixx merosot sebaik dia mengetahui pemergian Yuda.

“Selepas dimaklumkan khabar Yuda meningga dunia, kesihatannya merudum lagi. Sudah hampir seminggu, kuarantin kendiri dua hari. Dikategorikan orang tanpa gejala.

“Gejalanya ringan sangat,” katanya.

Sementara itu menurut laporan Tribunnews, selepas keadaan kesihatan Rixx semakin merosot dan kadar oksigennya menurut sehingga 77 peratus, dia cuba ditempatkan di hospital.

Bagaimanapun lapor portal itu, mereka sukar mendapatkan tempat untuk Rixx kerana semua hospital yang dihubungi di sekitar Jakarta sudah penuh.

"Akhirnya dia ditempatkan di sebuah hospital di Bogor, itu pun untuk sementara saja kerana tidak ada bilik di situ dan Rixx ditempatkan di unit kecemasan," kata Sakti.

Sehingga semalam pun, katanya, Rixx masih belum dapat dibawa ke wad kerana tiada kekosongan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS