Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PPM mulakan saman fitnah pada Freddie, Karyawan
Diterbitkan:  Feb 10, 2021 10:11 PM
Dikemaskini: Feb 11, 2021 4:14 AM

Public Performance Malaysia (PPM) memulakan tindakan undang-undang ke atas Persatuan Karyawan Malaysia dan presidennya Freddie Fernandez.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim, berkata, tindakan undang-undang itu diambil kerana presiden Karyawan itu didakwa secara berterusan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap PPM hingga menjejaskan reputasi mereka sebagai badan pelesenan sah bagi menjalankan kutipan royalti.

“Sebelum ini PPM mengeluarkan beberapa kenyataan media pada 13 Oktober dan 10 November tahun lalu untuk membetulkan dakwaan tidak benar dibuat oleh Freddie pada 3 Oktober, 6 Oktober dan 26 Oktober 2020 yang dikeluarkan di beberapa media cetak, online serta pelantar media sosial.

“Bagaimanapun, Karyawan melalui pengerusinya terus membuat dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap PPM di pelbagai media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PPM kemudian mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) kepada pihak Karyawan dan Freddie pada 12 November tahun lalu menuntut agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan menghentikan penyebaran kenyataan fitnah yang seterusnya terhadap PPM.

Malangnya, kata Rosmin, Karyawan dan Freddie enggan berbuat demikian.

“Adalah amat mengecewakan apabila Karyawan dan Freddie secara sengaja berulang kali membuat dan mengakibatkan pengeluaran artikel serta kenyataan tidak benar walaupun mengetahui bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri dari syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.

“Adalah mendukacitakan walaupun pelbagai usaha dibuat pihak PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media, namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah PPM, ia menyebabkan kami tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan fitnah tersebut,” katanya.

Kata Rosmin lagi, kenyataan fitnah itu dikeluarkan pada saat paling buruk, iaitu ketika seluruh industri muzik dan negara bergelut dengan cabaran untuk mengatasi kesan pandemik yang memberi kesan kepada semua sektor ekonomi negara.

Freddie Fernandez

Menurutnya, situasi pandemik menjejaskan punca pendapatan ramai penggiat seni muzik tanah air termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman.

“Kenyataan fitnah yang dibuat oleh Karyawan dan Freddie mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja mengutip yuran pelesenan bagi ahli-ahli dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar,” katanya.

Susulan itu, Rosmin berkata, PPM menyerahkan penyataan tuntutan (statement of claim) ke atas Karyawan dan Freddie kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PPM pada 12 Jan lalu.

“Selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM juga membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie atas kesalahan jenayah fitnah.

“Kami juga membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Karyawan atas kesalahan menyalahgunakan Internet untuk menghasil dan menyebar komen serta berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Freddie bagi mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS