Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dakwa dikasari: Polis belum dapat rakam percakapan Sajat

Di sebalik dakwaan dikasari membabitkan sebuah jabatan agama, polis berkata masih belum mendapat kerjasama personaliti Nur Sajat itu.

Setakat tengah hari ini, Pemangku Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya sedang mendapatkan Sajat sebagai pengadu untuk dirakam percakapannya.

“Kita belum dapat cerita dari pengadu. Hingga ke hari ini percakapan belum dapat dirakam.

“Alasan tidak sihat dan sibuk,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selepas mendiamkan diri dan menyah aktif akaun Instagram beberapa hari selepas memuat naik video memaparkan dia menangis teresak-esak sambil tangannya digari, penyanyi Makhluk Penggoda itu berkongsi video 38 minit malam tadi menjelaskan apa yang berlaku.

Sajat, 35, berkata, dia diminta hadir ke jabatan agama terbabit pada 6 Januari untuk memberi keterangan berhubung satu majlis bacaan doa selamat dan Yassin bersama-sama anak tahfiz.

Usahawan kosmetik itu mendakwa walaupun sudah memberikan kerjasama dengan baik, tetap timbul insiden tidak diingini menyebabkan dia terpaksa bergelut dengan pegawai.

Insiden terbabit katanya mengakibatkan beberapa bahagian tubuh badannya bengkak disebabkan tindakan mempertahankan diri.

“Video dalam ini saya menceritakan apa yang berlaku pada diri saya. Walaupun banyak cerita tak benar keluar dari media sosial, cerita bukan dari sumber yang sahih.

“Pendekkan cerita, saya dilayan tidak wajar, walaupun datang memberi keterangan dan kerjasama pada pihak terbabit.

“Tangan-tangan dan badan saya bengkak, kerana pergelutan saya ketika saya mempertahankan supaya tidak digari. Saya berhak diberi hak asasi kemanusiaan untuk hidup seperti manusia yang lain juga,” katanya.

Dakwa Sajat lagi, susulan itu, dia direman di pusat tahanan sementara di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

“Saya amat sedih dan kecewa dengan kejadian ini kerana kesan daripada kejadian ini mengganggu perniagaan saya dan mental saya,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan jabatan agama itu berkaitan insiden didakwa melibatkan Sajat.

‘Adakah aku kafir?’

Sementara itu, pada perkongsian di Insta Story pula, Sajat mengeluh berkaitan dakwaan layanan diterimanya.

"Adakah aku seorang kafir? Seorang yang tak layak memeluk Islam dan berbuat baik dalam agamaku.

"Aku selalu bersedekah, tetapi kerana pakaianku adalah wanita, aku dihukum agamaku kerana cara penyampaianku adalah salah, aku memakai tudung dan jubah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS