Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Doktor jadi jurusolek, pensyarah sains jadi novelis

Pelajar-pelajar tingkatan lima tahun 2019 kini ramai yang sedang menunggu keputusan permohonan unit pusat universiti (UPU) yang dijangka diumumkan April hingga Jun nanti.

Kebanyakannya telah membuat pilihan terhadap jurusan yang mahu mereka teruskan pengajian, namun ia tertakluk pada kekosongan tempat yang bergantung juga pada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah mereka peroleh 5 Mac lalu.

Ada yang akan yang menyambung pelajaran dalam jurusan pilihan utama, ada pula yang akan meneruskan dalam bidang yang bukan pilihan utama.

Namun, ada juga yang setelah memulakan pengajian, baru menyedari jurusan dipilih sebenarnya tidak bersesuaian dengan kecenderungan minat, malah ada yang terlewat menyedarinya hanya setelah mula bekerja.

Minat sejak kecil

Bagi Nurul A’in Sa’ari, usahawan produk penjagaan kulit dan jurusolek yang pernah bergelar doktor perubatan selama dua tahun, bekerja dalam bidang yang tidak diminatinya membuatkan dirinya berasa terperangkap.

Mengakui lebih meminati bidang seni sejak kecil selain perniagaan, namun saranan ibu bapanya membuatkannya akur memilih bidang sains. Akhirnya, dia perlu membayar harga yang mahal atas pilihannya itu.

“Saya tak nampak masa depan walaupun hari-hari saya cuba untuk sayang apa yang saya lakukan. Kesihatan mental saya juga merudum. Jadi saya perlu buat pilihan antara dua untuk masa depan saya dalam jangka masa panjang."

Sebelum menjadi doktor pelatih pada 2017, dia melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan selama lima tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah berjaya memperoleh purata nilai gred (PNG) 4.00 dalam dua semester semasa di matrikulasi.

Akuinya, dia pernah rasa menyesal mengambil jurusan yang tidak diminatinya, malah pernah mahu berhenti daripada pengajiannya di UKM, namun “tidak dibenarkan”.

Setelah melangkah alam pekerjaan, minatnya yang tiada dalam bidang kedoktoran ditambah dengan jadual kerja padat- kebiasannya 12 jam sehari atau lebih- menyukarkan keadaaan.

“Ada momen seronok, ada yang tak seronok. Yang seronok ada orang-orang baik di sekeliling saya. Alhamdulilllah. Saya tetap jalankan tanggungjawab dengan ikhlas. Cumanya, hati saya tak ada di situ."

Kini mengusahakan produk penjagaan kulit sendiri sejak Oktober 2019, katanya, meskipun mempunyai cabaran tersendiri dari segi turun-naik pendapatan dan perlu sentiasa bekerja keras memantapkan perniagaan, setakat ini, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan berhenti daripada kerjaya doktor.

“Rezeki Allah itu luas. Saya lebih tenang selepas tukar bidang,”

Bagi novelis, pengarang, penterjemah dan artis visual, Fahmi Mustaffa (gambar, bawah), meskipun mengakui senang berkecimpung dalam bidang pendidikan selama empat tahun bergelar pensyarah sains di sebuah institut pengajian tinggi, akhirnya dia menyahut “seruan” minat sejak kecilnya- seni dan sastera.

Mengimbau tamat SPM pada tahun 2004 dahulu, Fahmi menyifatkan dia tidak mempunyai banyak pilihan selain melanjutkan pengajian dalam bidang sains, setelah terlebih dahulu dimasukkan ke aliran sains ketika di tingkatan empat kerana keputusan PMR yang cemerlang.

Dia pernah cuba untuk menukar haluan ketika di tingkatan enam, namun tiada seorang pun guru yang sudi menukarkan dia ke aliran sastera atau mana-mana aliran yang bukan sains, membuatkannya berhenti belajar setelah hanya dua minggu.

“Saya menulis puisi dan cerpen ketika saya berusia 12 tahun, dan memenangi pertandingan mewarna setiap tahun ketika saya berumur 10 tahun lagi.

“Seni bukan hanya menjadi kegemaran dan gaya hidup saya, tetapi ia adalah darah daging. Apabila saya dilarang memilih darah daging demi masa depan saya, saya amuk dan berhenti belajar."

Fahmi bersama rakan penulis Regina Ibrahim dan peminat.

Selepas daripada itu, dia turut menolak pelawaan matrikulasi yang menawarkan aliran sains, namun akhirnya menyambut tawaran UiTM dalam bidang sains juga setelah surat temuduga kurus penulisan dan perundangan lewat tiba ke rumahnya.

“Akhirnya saya termasuk juga dalam bidang sains sehingga ke tahap pendidikan seterusnya.

Setelah empat tahun berhenti menjadi pensyarah, Fahmi kini sudah menghasilkan empat naskhah novel, puluhan cerpen dan esei, beberapa hasil tulisan dan terjemahan di dalam dan luar negara.

Mata hati sendiri

Bagaimanapun, dia mengaku, keputusannya itu sering dipandang orang lain sebagai satu kesilapan, namun baginya, itu bukan masalah baginya dan dia tidak perlu memberi apa-apa hujah untuk memuaskan hati orang lain.

“Hidup ini perlu dipilih dengan mata hati sendiri dan saya tidak mahu terus dibayangi oleh apa yang orang sekeliling harapkan kepada, dan daripada saya.

“Keghairahan membilang A di atas kertas adalah suatu bentuk penderaan. Tetapi hidup adalah proses, ia tak pernah silap memanggil nama, asalkan kita sudah berani dan bersedia untuk menyahut laungannya,” katanya.

Bagi Ain pula, memandangkan anak-anak selalunya masih mempunyai sifat ragu pada usia belasan tahun, maka ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengasah minat anak dan membimbing mereka ke arah bidang yang diminati anak-anak.

“Ikut kata hati, minta redha ibu bapa, bincang tentang masa depan. Yang akan hidup dengan kerjaya ikut bidang pengajian, diri kita sendiri. Insya-Allah kalau kita buktikan sesuatu pada mereka, mereka akan senang hati,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS