Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Fauzi nafi terbabit skandal ketirisan RM16 juta
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 1:28 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru ditukarkan ke kementerian komunikasi dan multimedia, Datuk Fauzi Ayob menafikan terbabit berhubung skandal ketirisan dana berjumlah RM16 juta kerana ia berlaku sebelum beliau dilantik memegang jawatan itu.

Fauzi berkata, dana RM16 juta yang diluluskan bermula tahun 2013 hingga 2016 berada di luar pengetahuan beliau yang mula menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah pada 2017.

“Selaku Ketua Pengarah Finas mungkin saya bertanggung jawab di atas segala projek yang telah diluluskan oleh para pegawai sebagai usaha untuk merangsang kegiatan perfileman dan membantu para penggiat perfileman tanah air.

“Saya jelaskan di sini, kesemua projek yang dikaitkan dengan kegagalan itu, saya tidak terlibat sama sekali, kerana kesemua projek tersebut diluluskan sebelum saya menerajui Finas,” katanya.

Skandal ketirisan dana berjumlah RM16 juta didakwa diberikan kepada beberapa buah syarikat perfileman pada tahun 2013 hingga tahun 2016 bagi menerbit tujuh buah filem dan satu filem animasi.

Bagaimanapun, syarikat filem tersebut didakwa gagal menyiapkan projek-projek berkenaan.

Terima keputusan menteri dengan rela hati

Fauzi kemudian ditukar ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dikatakan ekoran kemelut didepani agensi itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Beliau digantikan dengan Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir yang dilantik sebagai pemangku ketua pengarah.

Jawatan Timbalan Ketua Pengarah kini dipangku Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKMM, Fairul Azida Shahabudin yang menggantikan Datuk Azmir Saifudin Mutalib juga berkuat kuasa kelmarin.

Berhubung pengstrukturan semula Finas dan pemindahan sementara beliau dan timbalannya oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Fauzi menerima keputusan itu dengan rela hati.

“Saya amat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Menteri KKMM demi kelancaran dan ketelusan dalam apa bentuk sekalipun yang berkaitan dengan Finas.

Bersih reputasi diri

“Selama ini Finas memang memainkan peranan penting dalam usaha meningkat mutu dan pengeluaran filem tanah air,” katanya.

Fauzi berharap agar pengurusan dan perjalanan Finas dapat bergerak lancar demi membangun dunia perfileman tanah air.

Beliau juga ingin segala masalah ketirisan dana dan skandal kewangan Finas dapat dirungkaikan dengan kadar segera.

“Ia bukan saja melibatkan maruah dan kepercayaan rakyat kepada badan kerajaan yang diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan mutu perfileman.

“Tetapi saya sendiri perlu membersih imej dan reputasi saya sebagai pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan memegang amanah demi rakyat dan negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS