Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pereka grafik, Fahmi Reza dan kartunis Zunar berikrar akan terus menghasilkan karya seni untuk memprotes kewujudan dan penggunaan berterusan undang-undang yang menindas di bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mereka secara khusus merujuk penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap aktivis Fadiah Nadwa Fikri dan Asheeq Ali Sethi Alvi yang sebelum ini dijanjikan oleh Kementerian Dalam Negeri akan dikaji semula.

Zunar dalam sebuah forum hari ini berkata, walaupun beliau gembira dengan perubahan kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, namun 'sisa-sisa rejim BN' tetap kukuh.

"Kita akhirnya berjaya mengubah parti politik (dalam PRU14) tetapi tidak beberapa perkara lain.

"Undang-undang yang pernah digunakan oleh kerajaan sebelum ini, Akta Hasutan masih di sini (dan) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) masih di sini.

"[...] Saya akan terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengatakan bahawa anda tidak perlu mengulangi kesilapan yang sama (yang) dibuat oleh kerajaan sebelumnya," katanya dalam sebuah forum di Kuala Lumpur malam ini.

Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar ul-Haque, sebelum ini menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan membabitkan karyanya yang turut dirampas di bawah PPPA.

Tuduhan itu bagaimanapun telah digugurkan.

Fahmi yang senada dengan Zunar pada forum tersebut turut mempersoalkan jika kerajaan HARAPAN serius memansuhkan Akta Hasutan memandangkan ia masih terus digunakan.

"Peguam hak asasi manusia Fadiah (gambar) baru-baru ini disiasat dan dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan, di bawah kerajaan baru ini.

"Seorang lagi aktivis pelajar (Asheeq) juga dipanggil oleh polis kerana ucapan yang dibuatnya sebagai solidariti terhadap Fadiah.

"Jadi apa yang berlaku kepada janji kerajaan untuk menghapuskan Akta Hasutan apabila polis terus menggunakan undang-undang untuk menahan aktivis?" Kata Fahmi sambil menambah beliau akan terus menggunakan karya seninya sebagai "senjata politik" untuk memastikan HARAPAN menjadi sebuah kerajaan bertanggungjawab.

Fahmi sebelum ini ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana menjual t-shirt yang mengandungi karikatur bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS