Pelakon dan pengarah filem terkenal, Ellie Suriati Omar memuji kepimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya terbaik dalam membawa negara ke peringkat tertinggi.
Ellie, 48 dalam nada sebak berkata sepanjang Najib menjadi perdana menteri, beliau sentiasa menjaga kebajikan bangsa Melayu dan agama Islam termasuk suka menderma tanpa menunjuk-nunjuk kepada semua orang.
Ellie antara puluhan penyokong Najib yang hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan terhadap bekas presiden Umno itu.
“Saya hadir bagi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak, dia salah seorang perdana menteri Malaysia yang terbaik yang kita pernah ada.
"Kalau ada rezeki kita nak dia jadi perdana menteri kita lagi kerana kecemerlangan dia dalam kepimpinan tak ada tolok bandingnya.
“Setiap perdana menteri ada keistimewaan masing-masing tapi dia ada keistimewaan yang sangat berjiwa rakyat dan itu samalah dengan sikap bapa dia.
"Selalu pun kalau dalam apa-apa bidang kita tak dapat acuan, ayah, anak. Sekali-sekala kita akan dapat acuan itu dan acuan itu dalam Tun Razak,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum itu, Ellie menarik perhatian pihak media apabila kelihatan menangis teresak-esak sambil ditenangkan seorang temannya di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya mengapa menitiskan air mata, Ellie berkata beliau terlalu sedih mengenangkan layanan yang diterima Najib.
“Bagi saya kenapa layan pemimpin yang bagus macam tu, saya pernah jumpa dia, pada satu majlis mengenang budi, saya nak lihat dia dari dekat. Saya tak percaya orang boleh buat dia macam tu,” katanya sebak.
Najib hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ellie ketika ditanya mengenai kerajaan baru, menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menjalankan proses demokrasi dengan sebenar-benarnya berbanding zaman Najib.
“Saya rasa pemerintahan sekarang paranoid sebab saya nak tahu benar-benar sistem demokrasi berjalan sekarang sebab saya rasa sangat teruk dan adakah rule of law akan dipraktikkan seperti sebelum ini,” katanya.