Bermula dengan larangan ibu bapa untuk terbabit dalam aktiviti dikir barat, minat Halim Yazid kepada seni warisan bangsa itu sebenarnya tidak pernah terpadam.
Ia bermula sejak awal. Sejak Halim berusia lapan tahun.
Di sebalik larangan itu dalam diam-diam Halim menyuburkan minatnya kepada satu daripada khazanah seni negara itu.
Ketika usia beralih ke zaman muda dia mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) pada 1980. Pemergian Halim ke universiti itu memang diiringi dengan restu orang tuanya.
Namun sikap mereka kepada dikir barat tetap sama.
Di UM Halim mengikuti pengajian sarjana muda sastera di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Sambil meneruskan pengajian dan menunggu waktu pengajiannya disempurnakan pada 1983 Halim tetap memberikan perhatian kepada dikir barat.
Jika di negeri kelahirannya dikir barat dikekang kerana ada unsur-unsur yang tidak boleh dikompromi, tentu ada cara lain untuk seni berkenaan diselamatkan.
Kata Halim, secara umumnya dikir barat tradisional di Kelantan diwarnai dengan lirik-lirik berunsur lucah.
Justeru dia mencari jalan untuk mengubah keadaan. Melalui kajian yang dijalankan, Halim, 57, tampil membawa pembaharuan.
Mula-mula rasa pelik
Di tangan Halim dikir barat tidak lagi dibayangi dengan nyanyian bermotif lucah atau sebarang unsur yang bercanggah dengan agama.
Sebaliknya dikir barat itu mmuncul dengan mesej motivasi untuk masyarakat.
“Tahun 1978 dianggap waktu gemilang bagi dikir barat tetapi ia dirosakkan dengan penceritaan bercampur lucah serta merendah-rendahkan kaum hawa.
“Saya memang tidak mahu orang memandang dikir barat sebagai satu seni yang hina. Justeru saya memulakan eksperimen dengan menggabungkan kesedihan dan hiburan seperti formula filem Hindustan," katanya kepada Malaysiakini.
Anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan itu ditemui di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Kata Halim dia juga memberikan pembaharuan tersendiri apabila memberi ruang kepada sebuah lagu berbahasa Inggeris setiap kali mengadakan persembahan.
Lagu paling kerap dinyanyikan Halim ialah Oh Carol. Ia adalah lagu yang asalnya dipopularkan oleh Neil Sedaka. Ia dirakam dan diterbitkan pada 1959.
“Gimik begitu pada awalnya menimbulkan perasaan pelik kepada penonton tetapi lama-kelamaan ia diterima umum,” katanya.
Dikir masuk istana
Bekas pegawai kebudayaan UM itu sebenarnya membawa pengaruh besar di negeri Cik Siti Wan Kembang, malah caranya jua berjaya membawa dikir barat merentasi sempadan Kelantan.
Hingga kini, Halim sudah menerbitkan tujuh album dikir barat iaitu Angin, Inovasi, Infiniti, Sarana, Personaliti, Destiny dan Ekspresi.
Bagi peminat dikir barat, khususnya yang ditukangi Halim, dia akan menampilkan album kelapan tidak lama lagi, berjudul Ambo Orghey Klate Saya Rakyat Malaysia.
Biasanya, Halim memaparkan lagu-lagu berkisahkan pengalaman hidupnya yang susah sewaktu kecil, selain menyanjung jasa guru dan ibu bapa.
Dua buah lagu yang menjadi kebanggaan Halim adalah Bangkit Asal 2 dan Tupai dalam album Inovasi yang pernah mendapat sambutan hangat hingga jualan album berkenaan mencecah ratusan ribu unit.
Dalam pada itu, Halim sempat berkongsi sebahagian pengalamannya sepanjang bergelar aktivis dikir barat.
"Saya pernah diberi peluang mengikuti program diterbitkan TV3, Dikir Blues USA pada 2012.
"Kami ke negara berkenaan untuk mengangkat martabat seni itu hingga menjangkau ke serata dunia di samping menggabungkan blues dengan dikir barat," katanya.
Baca Mak Yong, Dikir Barat dalam manifesto BN Kelantan
Menurut Halim dia juga pernah diundang untuk membuat persembahan dikir barat sewaktu majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V tahun lalu.
"Apabila dikir barat dapat masuk ke istana, ia memang satu perasaan yang tidak tergambarkan," katanya.
Menurut bapa kepada lapan anak itu, sebagai pejuang dikir barat, mereka yang mengalunkan lagu dalam seni itu perlu bijak menyesuaikan persembahan dengan penonton.
“Perlu sensitif dengan keadaan sekeliling selain itu apa jua hendak dicerita dalam lagu mesti ada sesuatu yang kita boleh sampaikan untuk mendidik,” katanya.