Ismail Marzuki adalah nama besar dalam sejarah seni Indonesia. Dikenali sebagai pemuzik dan pencipta lagu, jasanya membuatkan kerajaan menamakan sebuah taman kesenian di Jakarta dengan namanya.
Namun langit tidak selamanya cerah.
Anak perempuan tunggal Ismail, Rachmi Azizah dilaporkan hidup sangat sederhana dan mencari pendapat melalui berjual kuih-muih di Purwakarta, Jawa Barat.
Ketua Daerah Purwakarta Dedi Mulyadi, kemudian tampil memberi bantuan terutama dari segi meningkatkan taraf ekonomi Rachmi.
Dedi juga memberikan anugerah khas kebudayaan untuk Ismail di Malam Anugerah Budaya di Purwakarta kelmarin.
"Anugerah ini diberikan kerana Ismail banyak memberikan inspirasi kepada anak bangsa agar tetap mencintai tanahair melalui lagu-lagunya.
"Kita mengenal pelbagai kehebatan negara, keindahan alam semulajadi dan kekuatan bangsa melalui lagu-lagu Ismail Marzuki," katanya seperti dilapor Tempo.
Untuk membantu Rachmi Dedi menjadikan wanita itu sebagai tetamu khas di majlid berkenaan.
Rachmi kini menetap di Sawangan, Depok.
Kata Dedi sejak Rachmi berpisah daripada Ismail dan ibunya Eulis Zuraedah, dia berpindah-randah menyewa pelbagai rumah.
Selain rumah mereka di Pondok Labu, Jakarta Selatan sudah bertukar milik, alat muzik Ismail juga dijual untuk membiayai keperluan harian Rachmi.
Kata Dedi, ketika ini Rachmi menjadi penjaja kecil di Sawangan.
"Dia hanya mendapat pendapatan sampingan daripada royalti pencipta lagu yang menggubah karya-karya ayahnya," kata Dedi.
Ismail dilahirkan di Kwitang pada 11 Mei 1914 dan dianggap salah seorang pemuzik legenda Indonesia.
Bapanya memang gemar bermain kecapi dan mahir mengalunkan syair bertemakan keislaman.
Bagaimanapun hayat Ismail tidak panjang. Dia meninggal dunia di Tanah Abang, Jakarta pada 25 Mei 1958 ketika baru berusia 44 tahun.
Antara lagu Ismail yang masih dinyanyikan sehingga kini ialah Rindu Suratan, Halo Halo Bandung dan Sepasang Mata Bola.
Nama Ismail kini diabadikan di Taman Ismail Marzuki.