ADS

KOLUM | Biasanya antara pencetus 'perasaan' untuk meraikan hari raya akan muncul sewaktu telinga kita mula menangkap alunan alunan merdu dan mendayu lagu-lagu sempena perayaan tersebut.

Namun entah kenapa lagu-lagu raya terkini terasa kurang menyentuh.

Mungkin kerana lagu-lagu raya lama sudah tertanam lama dalam jiwa, atau lagu-lagu masa kini sudah hilang jiwa. Atau kerana usia yang sudah semakin tebal dan enggan menerima perubahan zaman.

Menurut M Nasir, lagu-lagu lama raya mempunyai unsur syahdu dan kesyahduan itulah yang menyuntik rasa nostalgia, kehilangan dan kerinduan.

ADS

Memang ada yang syahdu pada hari raya kerana ia menandakan berakhirnya Ramadan yang penuh kemuliaan.

Ada juga syahdu kerana beraya tanpa dapat bersama dengan sanak saudara atau keluarga, atau sebab-sebab lain dan ia bergantung kepada fikiran, pengalaman, kepercayaan dan sudut pandangan yang ada dalam diri seseorang.

Ada sesuatu yang menarik dalam riwayat hidup Seniman Agung P Ramlee dalam konteks sambutan Aidilfitri.

Dalam sekian banyak lagu raya yang berkemundang sama ada di corong radio, kaca televisyen, media sosial atau gedung perniagaan, lagu ciptaan P Ramlee juga yang kekal malar segar serta syahdu pada halwa telinga pendengar.

Dua lagu raya ciptaan P Ramlee yang menyengat itu ialah Dendang Perantau dan Suara Takbir.

Dendang Perantau dicipta pada 1948 yang menggabungkan kekuatan seni kata S Kadarisman dan irama P Ramlee.

Lagu yang turut pernah dinyanyikan semula oleh Sudirman, Sharifah Aini, Aisyah, dan Siti Nurhaliza itu sememangnya menyentap jiwa terutama yang meninggalkan kampung halaman mencari kehidupan, berdagang dan merantau ke ibu kota.

Mengadu nasib di rantau orang

S Kadarisman bijak mengatur kata-kata bagi menggambarkan perasaan perantau semasa hari raya.

Idea melodi lagu Dendang Perantau tercetus ketika P Ramlee dalam perjalanan dari kampung halamannya, Tanjung - yang juga nama asal George Town - ke Singapura.

Sewaktu nama Tanjung semakin terhakis P Ramlee pernah menggunakan karya seninya agar istilah itu kekal dalam ingatan masyarakat.

Sejarah P Ramlee meninggalkan kampung halaman pada 1 Syawal menjadi paradoks dalam psikologi Melayu. Umumnya, masyarakat Melayu percaya bahawa hari kebesaran tersebut mesti diraikan bersama keluarga di kampung halaman.

ADS

Hari raya adalah detik anak perantau pulang ke kampung walaupun terpaksa menghadapi kesesakan trafik yang luar biasa.

Namun pada 1 Syawal 1347 (1948), P Ramlee meninggalkan kampung halamannya untuk ke Singapura. Dia menaiki kereta api. Destinasinya satu satu: Studio Jalan Ampas.

S Sudarmaji

Dia mahu mengadu nasibnya untuk menjadi seorang seniman di Malay Film Production milik Shaw Brothers.

P Ramlee cuma berbekalkan sebuah beg, biola dan segunung harapan.

Perjalanan yang memakan masa sehari semalam itu memberi limpahan ilham kepadanya. Dalam fikiran P Ramlee sudah ada beberapa buah lagu.

Antaranya Azizah yang dicipta pada 1945 yang menjadi penghias filem Penarek Becha kira-kira 10 tahun kemudian.

Ternyata langkah P Ramlee berhijrah ke kota Singa itu telah membawa tuah. Namanya mula mengukuh sebelum dia menapak dunia seni dengan lebih jauh.

Di kota itulah P Ramlee berjaya mengangkat filem Melayu ke peringkat antarabangsa dengan kemenangannya sebagai aktor terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo pada 1956 melalui filem Hang Tuah.

Pembinaan identiti bangsa

Filem Antara Dua Darjat pula melakar tuah kerana diiktiraf menampilkan lagu terbaik di festival berkenaan pada 1960 sebelum diikuti Ibu Mertuaku - bagi kategori sama - setahun kemudian.

Apabila P Ramlee mengubah lagu rayanya yang kedua, Suara Takbir dia mendapatkan kepakaran S Sudarmaji untuk menghasilkan yang indah seperti yang dihasilkannya dalam Getaran Jiwa, Jeritan Batinku, dan Putus Sudah Sayang.

Aidilfitri sememangnya sangat rapat dengan perjalanan hidup P Ramlee. Hal itu kerana pada 1 Syawal jugalah seorang insan bernama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan.

Sosok itulah yang kemudian kita kenali sebagai P Ramlee.

Dia lahir pada 1 Syawal 1347 Hijrah bersamaan 22 Mac 1922 di Tanjung, Pulau Pinang.

Ibunya bernama Che Mah Hussein merupakan anak tempatan manakala bapanya, Teuku Nyak Puteh merupakan perantau dari Lhokseumawe, Aceh.

Tarikh kelahiran, detik penghijrahannya ke Singapura dan lagu raya P Ramlee menjadikan tiga perkara yang membentuk sejarah dalam pembinaan identiti budaya rumpun bangsa.

Pada tempoh tersebut, rantau Nusantara berada dalam era semangat nasionalisme dan kemerdekaan. Indonesia merdeka melalui revolusi melawan kolonial Belanda. Malaya dan Singapura pula berada pada transisi pembentukan negara merdeka.

Dalam suasana sosiopolitik sebegitu, P Ramlee berjaya mengadunkan kekuatan budaya serumpun dalam karya-karyanya sehingga kekal malar hingga ke hari ini.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS