ADS

KOLUM | Belum sampai tiga minggu Donald Trump di Rumah Putih dunia sudah menjadi huru-hara.

Saya penyokong Trump dan meramalkan Trump akan menang. Bila menang huru-hara akan berlaku dalam dunia.

Tetapi saya tidak menjangka secepat ini huru-hara berlaku. Kini dunia sedang berhadapan dengan Maharaja Donald J Trump. Amin.

Media dunia, mata dan telinga pemerhati politik dari kiri dan kanan semua tertumpu ke Rumah Putih. Pemimpin politik dari seluruh dunia – musuh dan kawan – semua meneliti apa yang akan keluar dari mulut Maharaja Trump ini.

ADS

Dalam suasana ini saya teringat apa kata Henry Kissinger: "Mungkin berbahaya menjadi musuh Amerika, tetapi menjadi kawan Amerika membawa maut".

Saya hendak menambah – lagi bahaya menjadi jiran tetangga berkongsi sempadan dengan Amerika.

Saya berkata demikian kerana Mexico dan Kanada kini menjadi tikus makmal projek cukai import Trump. Dua negara jiran ini telah dikenakan cukai 25 peratus. Sementara itu, China dikenakan cukai 10 peratus.

Perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico dianggarkan berjumlah AS$855.1 bilion dolar pada 2022. Eksport ialah AS$362.0 bilion; import ialah AS$493.1 bilion. Defisit perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico ialah AS$131.1 bilion pada 2022.

Sempadan AS, Mexico.

Hubungan perdagangan Amerika Syarikat dengan Kanada adalah yang terbesar di dunia. Pada 2023, perdagangan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara berjumlah $923 bilion dolar. Eksport Amerika ialah AS$441 bilion, manakala import ialah $482 bilion, mengakibatkan defisit perdagangan Amerika AS$41 bilion dolar dengan Kanada.

Pada 2023, jumlah nilai perdagangan antara Amerika dan China ialah AS$575 bilion. Amerika mengimport AS$427.2 bilion barangan dari China pada 2023, sambil mengeksport AS$147.8 bilion dolar.

Saya yakin bila Yang Amat Mulia Trump melihat data ini dia akan merasa ditipu. Semua perniagaan dengan tiga negara ini berat sebelah tidak menguntungkan Amerika.

Justeru untuk memperbaiki keadaan ini Yang Amat Mulia mengenakan cukai. Sekali imbas logiknya ada. Tetapi dalam hal jual beli dan perniagaan dunia ada hukum dan syarat-syarat lain.

Trump mahu syarikat AS patriotik

Tenaga buruh di Amerika mahal. Tenaga buruh di China dan Mexico murah. Kilang di China dan di Mexico tidak peduli dengan hal-hal pekerja dan tidak mengenakan kawalan alam sekitar yang ketat.

Contohnya beberapa syarikat terkemuka Amerika membuka kilang di China, termasuk: Apple (kilang pemasangan Foxconn), Nike, Tesla, General Motors, Ford, Dell, Mattel (pembuat anak patung Barbie), Coca-Cola, 3M, Boeing, Qualcomm, Carrier dan Johnson & Johnson.

Kapitalis tidak berbangsa, tidak beragama dan tidak ada kesetiaan pada negara. Tuhan dan rukun iman kapitalis ialah untung. Di mana ada untung di sana kapitalis akan berkumpul.

ADS

Maharaja Trump sedang cuba melawan dan mengubah hukum kapitalis ini. Trump mahu pengilang dan syarikat Amerika menjadi patriotik dan pulang membuka kilang di tanah tumpah darah sendiri. Amin.

Berita terkini melaporkan China, Kanada dan Mexico akan membalas. Ketika tulisan ini digarap belum diketahui lagi tindak balas dari tiga negara ini.

Apa yang jelas Maharaja Trump telah memulakan perang perniagaan. Inilah yang saya harapkan berlaku. Menghuru-harakan sistem ekonomi kapitalis dunia.

Saya mahu Trump kacau-bilaukan semua sistem ekonomi kapitalis. Huru-harakan rantaian pengeluaran sistem ekonomi kapitalis.

Tidak cukup dengan serangan ke atas tiga negara ini Trump juga telah bertitah yang negara-negara Kesatuan Eropah juga akan dikenakan cukai. Mengikut Trump negara-negara ini telah mengambil kesempatan atas hati baik Amerika.

Salah satu titah Maharaja Trump ialah menyelamatkan duit perbendaharaan negara. Kerja ini telah dijalankan oleh Panglima Elon Musk. Tugas ini memerlukan dana dipotong di sana-sini. Daripada apa yang dilapor Elon Musk telah menamatkan bajet untuk USAID.

Lembaga USAID ini beroperasi berselirat di seluruh dunia. Ramai warga Amerika bekerja dengan lembaga ini. Juga ada beribu warga asing dari pelbagai negara yang juga bekerja dengan USAID. Lembaga ini membuat kerja amal semenjak Presiden Kennedy menubuhkan pada tahun 1961.

Satu minggu sesudah Trump naik takhta beribu-ribu warga Amerika hilang pekerjaan. Dana untuk Badan Bukan Kerajaan – NGO – juga dilupuskan.

Trump juga bertitah untuk memutuskan hubungan dengan WHO – Badan Kesihatan Dunia – yang dikendali oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Trump tidak puas hati pada badan ini kerana bersekongkol dengan China dalam hal asal usul virus Covid-19.

Maharaja Trump juga merancang untuk memutuskan penglibatan Amerika dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan melanjutkan larangan pembiayaan ke atas agensi PBB untuk pelarian Palestin – UNRWA.

Amat jelas Maharaja Trump sedang membuat kacau dan huru-hara sedang berlaku di seluruh dunia. Dalam Amerika kacau. Luar Amerika pun lagi kacau.

Mata dunia sedang buntang memandang apa yang akan dilakukan oleh Maharaja Trump kepada Ukraine.

Sebaik sahaja mendapat kuasa, Trump telah membatalkan semua bantuan kepada Ukraine. Dunia melihat ini tanda-tanda positif yang perang ini akan ditamatkan.

Dalam masa yang sama, Trump juga telah memberi amaran kepada BRICS atau kaum kerabat BRICS. Jika BRICS mahu mendirikan satu lagi mata wang untuk bersaing dengan dolar, maka negara-negara ini akan dikenakan cukai 100 peratus.

Amaran Maharaja ini telah menjemput suara lembut dari Presiden Putin. Mengikut Putin, BRICS tidak berniat untuk mewujudkan mata wang baru untuk melawan dolar.

Kenyataan lembut daripada Putin ini bersangkut paut dengan keinginan Rusia untuk menamatkan Perang Ukraine. Presiden Putin sedar perang ini juga menghuru-harakan ekonomi Rusia – justeru jalan damai wajib diteroka.

Dalam perhitungan Putin, sosok terbaik untuk menamatkan perang ini pastilah Maharaja Donald Trump. Amin.

Seperti maharaja di zaman dahulu kala, Trump juga menggunakan ancaman senjata dan bala tentera. Dua negara yang menjadi sasaran ialah Panama dan Greenland. Dua negara ini menjadi wilayah yang amat strategik dari segi pertahanan untuk Amerika.

Pituffik Space Base di barat laut Greenland ada pangkalan tentera udara Amerika. Greenland penting untuk tentera Amerika dan sistem amaran awal peluru berpandu balistiknya. Dari pulau ini laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara.

Trump mahu menjadikan pulau Greenland ini sebahagian dari Amerika melalui jual beli atau ditawan. Perkara yang sama juga sedang berlaku ke atas Panama.

Terusan Panama yang didirikan oleh Amerika pada tahun 1914 ini telah dipulangkan kepada rakyat Panama pada tahun 1977. Mengikut Trump, kerajaan Panama telah mungkir janji.

Kini pintu masuk dan pintu keluar terusan ini sedang dikendalikan oleh syarikat China. Ini membawa bahaya ke atas keselamatan Amerika.

Justeru Trump bertitah: Undur atau tentera Amerika akan datang mengambil alih kembali terusan ini.

Belum pun sempat tulisan ini selesai digarap, perkembangan baru telah datang mendadak. Titah dan ancaman Maharaja Trump telah membawa hasil.

Kerajaan Mexico yang awalnya berkeras akan membalas cukai Trump kini jadi lemah longlai. Mexico bersetuju untuk menghantar 10,000 – bukan sepuluh orang – soldadu untuk mengawal sempadan Amerika–Mexico. Pendatang haram akan dibedal oleh Mexico. Pihak keselamatan Mexico akan memperkuatkan lagi kempen anti dadah – fentanyl.

Dadah kimia fentanyl datang dari China. Mengikut hujah Trump, ini cara awal China untuk melemahkan benteng pertahanan Amerika. Hantarkan dadah ke Amerika dahulu.

Di Kanada, Perdana Menteri Justin Trudeau juga menjadi lembik bila berhadapan dengan ancaman Trump. Dari perbualan telefon mereka, Kanada bersetuju akan menghantar soldadu dan polis untuk mengawal ketat sempadan Kanada-Amerika yang banyak membawa masuk pendatang haram ke Amerika.

Sama seperti Mexico, Justin Trudeau juga berjanji untuk memastikan dadah fentanyl dari China tidak diseludup masuk ke Amerika melalui sempadan Kanada.

Jelas terbukti cara Trump mengeluarkan titah telah menakutkan banyak negara. Penyokong Trump termasuk saya juga mengalu-alukan kejayaan dasar antipendatang haram ini. Dalam masa yang sama, Maharaja Trump mengingatkan kita untuk berwaspada terhadap perancangan jangka panjang dari China.

Bila Maharaja Trump naik takhta, bukan semuanya tragedi. Ada juga komedi untuk kita sama-sama tersenyum dan merayakan kejayaan dasar Maharaja Trump. Untuk ini, saya bawa pembaca ke India.

Kita sendiri di Malaysia tahu dan ada pengalaman membaca bagaimana warga India datang masuk melalui KLIA ke Malaysia dan kemudian tidak pulang-pulang. Perkara yang sama berlaku ke atas Amerika.

Dengan sekali seru, kerenah jahat warga India ini terhenti. Trump bertitah semua visa untuk warga India dimansuhkan. Jeng jeng jeng.

Apa yang terjadi sesudah titah ini diumumkan membawa kita semua ketawa terbahak-bahak.

Warga India yang masih tergila-gila hendak ke Amerika ini telah berduyun-duyun bersembahyang di sebuah kuil bernama Chamatkari Hanuman di Ahmedabad, wilayah Gujerat. Kuil ini sekarang dipanggil kuil Visa Hanuman.

Akhbar The Times of India melaporkan berita bagaimana Sami Vijay Bhatt yang menjaga kuil ini akan mengambil pasport untuk disembahyangkan di hadapan Tuhan Hanuman. Si pemilik pasport ini akan bertawaf sebanyak 108 kali mengelilingi Tuhan Hanuman sambil berdoa akan diberikan visa untuk memasuki Amerika.

Pada hemat saya, titah Trump ini ke atas Mexico, Kanada, Greenland, Ukraine dan Panama semuanya cuba diselesaikan secara duniawi. Hanya di India, titah Maharaja Trump ini cuba ditumpulkan dengan kuasa ghaib. Kah kah kah.

Sebelum tulisan ini selesai digarap, dunia diberitahu bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah sampai ke Amerika.

Waran tangkap ke atas Netanyahu pasti tidak dipedulikan oleh Maharaja Trump.

Mata dunia sedang menunggu untuk melihat kesampaian Netanyahu ke Rumah Putih.

Telinga dunia sedang terpasang untuk mendengar apa isi perbualan Maharaja Trump dan Tok Penghulu dari kariah bernama Israel. Kita tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS