ADS

KOLUM | Bayangkan sebuah negara di mana setiap perdebatan politik membawa kepada penyelesaian yang membina serta mendatangkan manfaat kepada negara juga semua.

Di mana, setiap kritikan disertakan dengan cadangan yang praktikal. Seharusnya, ini bukanlah sekadar impian, ia adalah realiti yang boleh direalisasikan bersama.

Politik bukanlah lapangan untuk melepaskan ketidakpuasan hati. Ia adalah wadah untuk bersama-sama membangunkan negara demi masa depan yang lebih baik dan cemerlang untuk semua.

Dalam arena politik tanah air, kita sering menyaksikan fenomena yang kurang sihat apabila emosi mengatasi rasional.

Kebelakangan ini, semakin ketara bagaimana sesetengah pihak pembangkang melancarkan kritikan yang tidak berasas terhadap pihak kerajaan, semata-mata kerana sentimen tidak suka apa lagi tidak kena dengan selera mereka.

ADS

Tindakan sebegini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja mencemarkan integriti politik negara, malah boleh menggugat kestabilan sosial masyarakat. Apabila sesuatu isu dibangkitkan tanpa fakta yang sahih dan hanya berlandaskan prejudis peribadi, ia sebenarnya merosakkan kualiti perbahasan politik yang sepatutnya membina serta membugarkan.

Lagi membimbangkan, terdapat pihak yang sanggup membenarkan fitnah yang tersebar demi mencapai agenda politik mereka. Ini bukan sahaja mencerminkan kematangan politik yang rendah, tetapi juga menunjukkan pengabaian tanggungjawab moral terhadap rakyat yang mahukan politik berkualiti dan beretika.

Di manakah integriti kalian sebagai wakil rakyat mahupun ahli politik?

ADS

Realiti politik semasa

Terdapat pihak yang begitu mudah melancarkan kritikan tanpa asas, semata-mata kerana tidak berpuas hati dan tidak selari dengan ‘selera’ parti mahupun dirinya. Hentaman dan serangan peribadi menjadi senjata, sedangkan rakyat masih menunggu penyelesaian kepada isu-isu besar yang membelenggu mereka, hari demi hari.

Hakikatnya, semua parti di Malaysia pernah diberi mandat menjadi kerajaan, memerintah negara. Kenapa masih lagi tidak berfikiran matang dalam mengendalikan sesuatu isu yang bertandang? Padahal ia bukan pun isu hingga sanggup memfitnah dan menunding bermacam kerara tidak puas hati. Apalagi yang boleh di lakukan agar fenomena tidak sihat ini berjaya dinoktahkan?

Masyarakat semakin jelak dan bosan melihat pelbagai tingkah dan kata golongan ahli politik yang agak keterlaluan kerana tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Seharusnya, pihak oposisi memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina, mengkritik dengan fakta, membangkitkan isu bersama bukti, dan mencadangkan penyelesaian yang praktikal untuk diaplikasikan kerajaan.

Tahukah kalian, kritikan yang membina akan sentiasa dihormati dan boleh membawa kepada penambahbaikan dalam pentadbiran seterusnya membina sebuah negara yang Rahmah?

Kita sebagai rakyat berhak mendapat perdebatan politik yang matang dan berasaskan fakta. Sudah tiba masanya untuk semua pihak meninggalkan politik emosi dan beralih kepada politik berasaskan merit serta fakta. Hanya dengan cara ini kita dapat membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan aspirasi untuk menjadi negara maju.

Mengapa perlu Berubah?

Sedarkah kalian? Politik semborono dan kritikan tanpa hala tuju hanya membawa kepada pembaziran masa dan tenaga yang berharga, kehilangan kepercayaan rakyat, kelewatan dalam menyelesaikan masalah serta kemunduran dalam pembangunan negara.

ADS

Dalam era yang semakin mencabar ini, kita tidak mampu lagi berterusan dengan politik yang hanya berlandaskan retorik kosong. Setiap hari yang berlalu dengan perdebatan tidak bermakna adalah satu hari yang hilang untuk membangunkan negara.

Rakyat semakin bijak menilai, mereka mahukan pemimpin yang mampu memberikan penyelesaian konkrit, bukannya sekadar pandai berhujah.

Perubahan perlu bermula dari sikap para pemimpin sendiri. Kritikan yang dibuat mestilah bersifat konstruktif dan disertakan dengan cadangan penyelesaian yang praktikal. Perbezaan pendapat dalam politik adalah lumrah, tetapi ia perlu dikendalikan secara profesional dan matang. Negara memerlukan wacana politik yang berasaskan fakta, data dan penyelidikan, bukannya sekadar emosi dan sentimen.

Pengalaman negara-negara maju menunjukkan bahawa kejayaan pembangunan sesebuah negara bergantung kepada kestabilan politik dan keupayaan pemimpinnya untuk bekerjasama merentasi fahaman politik.

Kita perlu sedar bahawa masa depan negara adalah lebih penting daripada kepentingan politik sempit yang dicipta sesetengah pihak. Generasi muda sedang memerhati, dan mereka menuntut perubahan dalam cara berpolitik yang matang, sihat dan rasional. Mereka mahukan pemimpin yang boleh membawa transformasi positif, bukannya yang hanya pandai melagakan rakyat.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kita mengubah paradigma politik negara. Berhentilah dengan politik semborono yang hanya membazirkan masa dan tenaga. Sebaliknya, marilah kita sama-sama membina budaya politik yang matang, beretika dan berorientasikan penyelesaian.

Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan masa depan negara yang lebih cerah untuk generasi akan datang. Perubahan ini bukan pilihan, tetapi keperluan yang mendesak. Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan adalah satu hari yang terbuang dalam usaha memajukan negara.

Marilah kita mulakan perubahan ini dari sekarang, bermula dengan diri sendiri, kerana masa depan negara bergantung kepada tindakan kita hari ini. InsyaAllah.


ATRIZA UMAR ialah felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS