ADS
mk-logo
Kolum

Siling kaca adalah satu metafora yang menggambarkan halangan yang tidak kelihatan tetapi sangat nyata yang dihadapi oleh wanita dalam kepimpinan mahupun kerjaya mereka.

Secara jelasnya, ia merujuk kepada situasi di mana wanita, walaupun mempunyai kompetensi, kelayakan dan pengalaman yang setara dengan rakan lelaki mereka, masih tidak dapat mencapai jawatan kepimpinan tertinggi.

Halangan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk stereotaip gender, diskriminasi, ketelusuan juga rasa tercabar dengan keupayaan serta kebolehan golongan wanita.

Mengapa Ia penting?

Sedarkah kita, kepimpinan wanita bukan sahaja penting untuk mencapai kesetaraan gender, tetapi juga membawa pelbagai manfaat kepada parti-parti politik, organisasi mahupun masyarakat secara keseluruhannya.

ADS

Terdapat kajian menunjukkan bahawa organisasi yang mempunyai kepimpinan wanita yang kuat cenderung untuk mencapai prestasi yang lebih baik. Wanita dalam kepimpinan membawa perspektif yang berbeza, kemahiran komunikasi yang lebih baik, dan pendekatan yang lebih inklusif dalam pembuat keputusan.

Realitinya, dalam dunia yang semakin maju dan berdaya saing, kepimpinan wanita menjadi satu topik yang semakin mendapat perhatian. Walaupun terdapat kemajuan yang ketara dalam penglibatan wanita dalam pelbagai bidang, masih terdapat cabaran yang menghalang mereka daripada mencapai potensi penuh mereka.

Idea pemimpin wanita itu sendiri seringkali mempunyai banyak batasan, untuk merealisasikan kepimpinan wanita perlukan suatu usaha yang keras dan berterusan berikutan persaingan gender atau patriaki yang masih hidup.

ADS

Dengan berlandaskan ilmu, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran, semua halangan dan cabaran yang dihadapi oleh pemimpin wanita dapat sama-sama diatasi. Bukti yang sangat jelas, wanita makin menyerlah di pelbagai peringkat.

Sosok ini telah membuktikan keupayaan mereka untuk memecahkan siling kaca dan mengatasinya sebagai halangan penting, melalui keunikan mereka dalam tingkah laku kerjasama dan gaya demokratik yang diadun dengan berhati-hati dan waspada.

Siling kaca dianggap sebagai salah satu cabaran paling penting dan mencabar yang dihadapi oleh pemimpin wanita, terutamanya dalam menyatakan keupayaan kepemimpinan wanita untuk mewujudkan lanskap yang sesuai yang memenuhi keperluan kontemporari.

Adalah perlu bagi wanita untuk mencapai kemakmuran dan merealisasikan keupayaan unik dalam persekitaran kerja yang membezakan mereka daripada lelaki dalam kompetensi, kuantiti atau kualiti.

Pemimpin wanita, melalui ilmu, pengetahuan, pengalaman bertahun-tahun dan perjuangan yang panjang, amat menyedari implikasi terhadap siling kaca juga kuasa pengalaman, komponen ketiga kepimpinan feminis sejati, di mana kuasa pengalaman dianggap sebagai kuasa wanita yang diperoleh daripada kekuatan yang membolehkan mereka melabur secara optimum bagi merealisasikan matlamat.

Tip memecahkan siling kaca

Untuk memecahkan kondisi siling kaca ini, seharusnya ditelusuri beberapa langkah perlu diambil peduli bagi setiap parti-parti mahupun organisasi atau syarikat untuk lebih menyerlah jauh daripada biasa. Antaranya:

1. Meningkatkan kesedaran

ADS

Pendidikan dan kesedaran tentang ilmu juga pengetahuan isu-isu gender perlu dipertingkatkan di semua peringkat. Ini termasuk mengadakan seminar, bengkel, dan program latihan yang memberi tumpuan berfokus kepada kepimpinan wanita dan kesetaraan gender.

2. Mentor dan rangkaian sokongan

Wanita perlu mempunyai akses kepada mentor dan rangkaian sokongan yang dapat membantu mereka dalam perjalanan kerjaya mereka. Program mentor yang menghubungkan wanita dengan pemimpin yang berpengalaman boleh memberikan panduan mahupun sokongan yang diperlukan.

3. Polisi dan dasar yang menyokong

Parti-parti politik mahupun organisasi perlu melaksanakan polisi yang menyokong kepimpinan wanita, termasuk fleksibiliti kerja, kerja dari rumah (WFH), uti belajar untuk menambah dan mengembangkan ilmu pengetahuan, cuti bersalin yang mencukupi, serta peluang pembangunankan profesional.

4. Mengubah stereotaip

Masyarakat perlu berusaha untuk mengubah stereotaip gender yang menghalang wanita daripada mengambil peranan kepimpinan. Ini termasuk mempromosikan contoh-contoh wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Sebagai contoh negara kita yang pernah ada timbalan perdana menteri di kalangan wanita serta pencapaian-pencapaiannya.

5. Membina kesedaran dalam komuniti

Masyarakat perlu menyokong inisiatif yang mempromosikan kepimpinan wanita, termasuk program pendidikan dan kempen kesedaran yang menekankan kepentingan kesetaraan gender bagi mewujudkan kesejahteraan serta lebih menyerlah.

Justeru, kepimpinan wanita dan konsep siling kaca adalah isu yang memerlukan perhatian serius, apalagi dari pihak pimpinan tertinggi. Dengan memecahkan halangan ini, negara bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan, tetapi juga dapat mencipta masyarakat yang lebih adil dan seimbang.

Setiap langkah ke arah kesetaraan gender adalah langkah ke arah kemajuan, dan adalah tanggungjawab kita semua untuk menyokong dan memperjuangkan kepimpinan wanita. Mari kita bersama-sama memecahkan siling kaca dan membuka jalan untuk generasi pemimpin wanita yang lebih berilmu, berpengetahuan serta utamanya berkompetensi untuk memimpin.


ATRIZA UMAR ialah felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS