Paling Popular
Terkini

Pada hari Selasa 3 November 2020 warga Amerika Syarikat akan keluar mengundi. Mengundi untuk memilih presiden ke-46. Ini kali ke-59 Amerika mengadakan pemilihan presiden empat tahun sekali semenjak 236 tahun dahulu. Pada November ini Donald Trump dari Parti Republikan akan mempertahan kerusinya. Trump akan dilawan oleh Joseph Biden dari Parti Demokrat.

Pemilihan presiden Amerika ini adalah contoh terbaik untuk memahami politik undi atau electoral politics. Apa yang telah dan sedang berlaku dalam politik undi di Amerika ini juga sedang berlaku di setiap negara yang mengamalkan sistem politik undi. Tujuan mengundi untuk memilih wakil ke parlimen untuk membuat hukum undang undang dan dasar negara.

Politik undi di Amerika adalah sama dengan politik undi di Malaysia dan di negara Dunia Ketiga. Politik undi Amerika mungkin berbeza sedikit dengan sistem politik undi di Negara Nordik – Sweden, Denmark, Norway dan Finland - atau di negara yang mengguna pakai sistem undi berkadar – propositional representation. Tapi secara menyeluruh Amerika adalah contoh budaya unggul politik undi.

Dalam tulisan akhir saya telah menimbulkan tentang kuasa. Politik undi dijalankan untuk mendapat kuasa. Sosok yang mencalonkan diri untuk diundi berniat untuk mendapat kuasa. Melalui kuasa si polan yang menjadi yang berhormat (YB) boleh mendraft, mencadang, mengusulkan undang-undang untuk dilulus, diubah atau dibatal dalam parlimen. Para YB juga boleh membuat dasar untuk negara.

YB yang berkumpul dan berlabun dalam parlimen itu tugasnya ialah membuat undang-undang dan dasar negara. Di atas kertas jika kita baca - amat jelas para YB ini dilihat panglima unggul yang memiliki kuasa. Kuasa yang didapati melalui jumlah undi yang lebih banyak berbanding dengan yang kalah kerana dapat undi kurang. Amin.

Tetapi Hishamuddin Rais dalam tulisan ini akan membuktikan bahawa di belakang kuasa ini ada lagi kuasa yang betul-betul berkuasa.

Apakah ini bermakna di belakang Muhyiddin, Azmin Ali dan menteri kabinet ada lagi yang lebih berkuasa? 

Apakah ini juga bermakna di belakang Trump ada lagi yang berkuasa? Apakah ini bermakna di belakang Boris Johnson perdana menteri United Kingdom ada lagi yang lebih berkuasa?

Betul dan tepat. Di belakang kuasa PM, presiden atau menteri atau YB ada lagi kuasa yang lebih berkuasa. Kuasa yang lebih kuat dari kuasa undi.

Penghuraian saya tentang politik undi bertujuan untuk membuktikan bahawa di belakang kuasa presiden, kuasa perdana menteri, kuasa menteri, kuasa senator dan YB adalah lagi ‘makhluk’ di belakang kuasa ini. Khalas.

Melayu atau Cina? Islam atau Nasrani?

Siapa makhluk ini? Melayu ke Cina? Islam atau Nasrani?

Makhluk ini bukan susah untuk kita kenali dan difahami. Makhluk ini bukan makhluk halus. Makhluk ini sama seperti kita. Kalau makhluk ini makan petai maka kencingnya pasti berbau haring. Kalau makhluk ini banyak makan labu maka makhluk ini pasti akan kerap terkentut. Tapi awas dan waspada makhluk ini serupa dengan kita. Tetapi serupa bukan bermakna sama. Amin.

Seperti kata arwah cikgu Muzaffar Tate - politics is a rich man’s game – politik ini permainan orang kaya-kaya. Politik undi ini adalah puncak politik orang kaya-kaya.

Donald Trump sebelum menjadi presiden ialah seorang billionaire pemilik hotel dan pemaju bangunan di New York. Ketika berkempen pada tahun 2016, si Trump ini telah menggunakan duit sendiri sebanyak 66 juta dolar. Tapi keseluruhan kempen Trump pada tahun itu ialah 1.6 bilion dolar Amerika. Biden yang sedang menentang Trump sekarang telah mengumpul duit sebanyak 699 juta dolar. Kita belum terbaca jumlah dana yang telah dikumpul oleh presiden Trump.

Dalam kempen kali pertama tahun 2008 Barack Obama telah menggunakan 730 juta dolar. John McCain lawan Obama menggunakan 333 juta dolar. Jumlah penuh kempen tahun 2008 ialah 2.4 bilion dolar. Sila perhatikan jumlah: bukan puluh-puluh ratus. Bukan ratus ribu tapi ratus-ratus juta. Hingga jadi berbilion dolar. Amin.

Sekali dilihat berkempen ini macam projek membakar duit. Semua duit hangus terbakar. Betul. mak cik pak cik di Malaysia tahu bila ada PRU maka duit akan ramai turun. Tambah lagi dalam pilihan raya kecil (PRK) lagi banyak duit turun.

PRK Permatang Pauh, Kuala Kangsar, Tanjung Piai, Port Dickson atau di Slim baru-baru ini terbukti dana melimpah turun. Kampit beras dan kampit gula bertukar tangan. Tetiba baju, kasut, beg sekolah anak anak dihantar depan pintu. Tanpa diminta tanpa dipesan tetiba nasi minyak sampai ke surau. Semua ini adalah sebahagian dari ciri-ciri budaya politik undi Malaysia.

Kempen PRK ini memunculkan cerita-cerita rakyat. Disurahkan bagaimana mak cik dan pak cik di kampung berdoa agar YB di kawasan mereka mati. Jika YB mati maka akan diadakan PRK. Bila PRK diadakan duit akan luruh.

Putar kembali ingatan kepada PRK Bukit Gantang April 2009. Bagaimana pekerja parti, pihak keselamatan, pegawai SPR dan juga pelancong politik telah melonjakkan ekonomi tempatan. Media melaporkan bagaimana mi udang Kuala Sepetang yang biasanya 12 ringgit melonjak naik menjadi 15 ringgit semangkuk. Malah ombak ekonomi PRK ini melimpah hingga ke Taiping. Hotel dan rumah tumpangan habis dilanggan. Amin.

Zaman air liur

Dari mana duit berkempen ini dicekau?

Trump, Obama, Biden memerlukan ratus juta hingga berbilon dolar untuk berkempen. Zaman air liur dan zaman air dagu sudah berlalu. Maka dari mana duit dicekau?

Akhbar Washington Post 14 Februari 2020 melaporkan, semenjak 2017 presiden Trump telah mengadakan 48 kali pertemuan dan jamuan makan malam bersama elit dan gedebe parti Republikan. Untuk makan bersama presiden tiket dijual dari 50,000 dolar seorang hingga ke ratusan ribu mengikut jarak dari meja presiden. Lagi dekat dengan presiden lagi mahal harga kerusi.

Washington Post juga melaporkan bagaimana satu jamuan makan malam paling mahal untuk Trump telah diatur untuk 30 orang atau 15 pasang gedebe dari parti Republikan. Harga satu tiket ialah 580,600 dolar. Dalam sekelip mata Jawatankuasa Kempen Trump telah mendapat 10 juta dolar untuk duit kempen.

Apakah ini cukup? Jawabnya pasti belum melintasi 1 bilion. Justeru dari mana lagi duit nak dicekau?

Parti Republikan atau parti Demokrat tidak akan bergerak hanya dengan sokongan rakyat. Undi rakyat tidak akan masuk peti undi jika dolar tidak memainkan peranan. Ini kempen tahun 2020 bukan kempen zaman Abraham Lincoln. Bukan lagi pakai wayang pacak dan alat pembesar suara. Teknologi media yang dijana Internet memainkan peranan penting. TV dan media cetak masih berperanan. Untuk digerakkan semua ini memerlukan dolar dan dinar.

Justeru tanpa segan silu diakui bahawa di belakang kedua-dua parti politik Amerika ini ada sokongan orang kaya. Mereka bukan hartawan. Mereka bukan jutawan. Mereka adalah bilionwan. Mereka ini warga 1% yang memiliki 99% harta kekayaan Amerika.

Majalah Forbes telah melaporkan kempen 2020 ini Trump tidak perlu lagi menggunakan duit sendiri. Dilaporkan 80 bilionaire telah mara ke hadapan untuk membantu Trump. Ini bermakna 9 peratus bilionaire Amerika yang bernilai 210 bilion dolar akan menyediakan dana untuk kempen Trump.

Di belakang Parti Demokrat juga ada orang kaya. Mengikut laporan Forbes, pada akhir tahun 2019 Joe Biden telah mendapat sokongan dari 60 orang billionaire Amerika.

Saya perlu memberi tahu bahawa ada satu lagi punca dana untuk Trump dan Biden. Punca dana ini bukan dari sosok orang kaya tapi dari organisasi. Organisasi ini memiliki pengaruh lebih dari 100 ekor bilionaire. Organisasi seperti The America Israel Public Affars Committee (Aipac), Christian United For Israel dan American Jewish Committee.

Jemputan ke Aipac

Setiap calon presiden akan dijemput datang ke Aipac. Anggota Aipac mahu mendengar dasar baru, undang undang baru, hubungan luar negara baru yang akan dibawa oleh calon baru ke Rumah Putih. Paling penting untuk halwa telinga para ahli Aipac ialah mendengar dasar calon presiden terhadap Israel. Dasar terhadap Timur Tengah.

Ucapan garis politik Timur Tengah di Aipac ini boleh memenangi atau dan boleh menewaskan bakal calon ke Rumah Putih. Inilah yang saya katakan ada kuasa lebih berkuasa dari kuasa peti undi.

Jangan lupa pada 10 Mei 2019 media telah memetik berita dari AFP. Rakyat Malaysia telah diberitahu dakwaan bahawa Jho Low telah memberi sumbangan sebanyak 21.6 juta dolar untuk kempen Obama pada tahun 2012.

Kenapa dan mengapa orang kaya ini menyokong Trump atau menyokong Biden? Apakah Aipac dianggap lebih berkuasa dari suara rakyat Amerika? Dan kenapa mahu memberi sumbangan kepada kempen Obama? Soalan yang sama juga boleh kita tanyakan kenapa ada tauke menyokong Mahathir? Dan kenapa ada tauke lain menyokong Najib?

Untuk menjawab soalan ini sila tunggu minggu hadapan. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS