Paling Popular
Terkini

Kampungku namanya Sungai Lampam. Ia terletak kira-kira 15km dari pekan Teluk Intan dan berada dalam mukim Sungai Manik. Ia adalah antara beberapa kampung yang diwujudkan selepas Inggeris menubuhkan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) pada 1933 di Perak.

Antara projek awal yang JPS itu lakukan ialah membuka tanah untuk penanaman padi sebagai persediaan bekalan makanan negara. Peneroka awal di kampungku terdiri daripada orang Jawa, Mandailing, Rawa (Rao) dan Banjar yang datang dari pelbagai daerah termasuk dari Pulau Jawa, Banjarmasin dan Sumatera.

Kemahiran mengusahakan sawah padi adalah tradisi ekonomi yang dimiliki para perantau tadi. Semangat kental dan kerja kuat yang ada pada mereka pula memudahkan usaha penanaman padi.

Perang Dunia Kedua dengan pendudukan Jepun di Malaya membantutkan seketika ekonomi. Orang kampung hidup penuh dengan kesulitan dan kesengsaraan.

Ia merupakan zaman makan ubi. Zaman menghargai setiap cuit rezeki.

Apabila perang tamat, ia bagaimanapun tidak menjanjikan kedamaian. Tercetus pula pertempuran antara kaum yang menimbulkan ketegangan yang panjang. Itulah zaman fitnah. Zaman pemikiran politik yang berwarna-warni dan rencam.

Kebangkitan untuk menentang Inggeris meluap-luap. Semangat kemerdekaan di India dan Indonesia telah menyuntik semangat baru kepada pribumi untuk menyingkirkan penjajah.

Masing-masing mencari ruang untuk berkuasa. Tanah air mesti dimerdekakan. Perjuangan belum selesai. Dua paksi gerakan kemerdekaan wujud. Satu, Umno yang ditubuhkan pada 1946, manakala satu lagi parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang lahir lebih awal.

Jadi tukang gunting

Berbeza pendekatan tetapi mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu menolak pelaksanaan Malayan Union. Kedua-dua parti itu turun berjumpa rakyat dan akhirnya Inggeris akur untuk membatalkan dasar tersebut.

Satu lagi aliran radikal yang pernah menjadi harapan Inggeris sewaktu zaman pendudukan Jepun ialah Parti Komunis Malaya (PKM) juga memainkan penting dalam mewarnai politik negara sebelum merdeka.

Rashid Maidin ditangkap pada penghujung Jun 1948 di Sungai Lampam ketika hadir dalam satu program ceramah anti-Inggeris. Sungai Lampam merupakan salah sebuah kampung yang menjadi tempat gerakan anti-Inggeris kerana terdapat beberapa penggeraknya di situ.

Rashid Maidin pernah tinggal di Sungai Lampam yang merupakan kawasan petempatan suku Mandailing, Rawa dan Jawa.

Rumah orang tua aku terletak di Parit 17A Sg Lampam. Di situlah juga letaknya Madrasah al-Ibtidaiah dan Masjid Jame’ al-Mansor. Rashid Maidin menjadi tukang gunting rambut di Parit 17B, Sungai Lampam.

Kemudian adiknya, Yusof Maidin mengambil alih pekerjaan itu apabila Rashid Miidin bergerila. Maka, ramai juga antara datuk dan bapa-bapa kami yang pernah digunting rambutnya oleh Rashid Maidin dan Yusof Maidin.

Rashid Maidin (kiri) semasa Rundingan Baling 

Pada 1950, Yusof Maidin menyertai Home Guard dan bertugas di Sungai Lampam, Sungai Manik dan Labu Kubong. Pada masa itu ramailah orang kampung yang menjadi Home Guard.

Semasa pilihan raya umum 1984, Yusof Maidin menang di DUN Sungai Manik atas tiket BN.

Gerakan politik Islam banyak dibawa oleh para pelajar lulusan Madrasah al-Ulum as-Syariah di Batu 20, Bagan Datuk; Ilhya as-Syarif di Gunung Semanggol; Madrasah Irshadiah; Pondok Yasiniah; Pondok Kiai Masduki; Pondok Kiai Haji Salih Temoh dan sebagainya. 

Ada antara lulusan itu menyertai Hizbul Muslimin sebelum pertubuhan itu diharamkan Inggeris.

Pulang bersama semangat

Sebahagian mereka juga menubuhkan PAS Hilir Perak pada 1956 yang memperjuangkan negara merdeka yang berasaskan al-Quran dan sunnah.

Anak-anak Sungai Lampam dan Chikus - yang kedudukannya bersebelahan - sebelum merdeka dihantar ibu bapa mereka belajar agama ke Universiti Aligarh, India. Antaranya ialah Yahya Subhan. Sapian Mohd Noor pula belajar di Universiti Gadjahmada di Jogjakarta.  Othman Abdullah belajar di Universiti Islam Muhamadiah, Padang.

Anak-anak perempuan setempat juga tidak ketinggalan belajar keluar Malaya. Antaranya Hamidah Mohd Noor yang belajar di Medan. Mereka pulang bukan sahaja dengan membawa ilmu pengetahuan tetapi bersama semangat juang demi agama, bangsa dan tanah air.

Semasa hari pengisytiharan kemerdekaan, Sapian diberi tanggungjawab untuk menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu di Universiti Muhamadiah, Jogjakarta.

Sementara itu landasan kereta api yang menghubungkan Teluk Anson dengan rangkaian landasan Semanjung Tanah Melayu mempercepatkan semarak merdeka.

Landasan yang dibina atas kepentingan ekonomi Inggeris menjadi senjata paling ampuh kepada anak tempatan untuk membina kekuatan melawan Inggeris. Setiap stesen kereta api yang ada menjadi pusat gerakan menanamkan kesedaran.

Stesen kereta api yang berhampiran dengan Sungai Lampam ialah Chikus. Rumah orang tua aku hanya satu batu dari pekan Chikus. Di pekan kecil itu ada Madrasah Jamiahtun Lil Banat Wal Banin yang juga tempat penggerak politik Islam bertugas sebagai guru.

Antaranya Ustaz Yahya Subhan (Adun Sungai Manik – Perikatan), Ustaz Othman Abdullah (bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan ahli parlimen Hilir Perak – Perikatan), Ustazah Sakinah Jonid (Ketua Angkatan Wanita Sedar - Awas - Perak dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat).

Satu lagi stesen kereta api ialah di Degong. Di kampung itulah tempat Ahmad Boestamam menanamkan semangat kemerdekaan sambil menyara kehidupannya dengan menoreh getah.

Akhirnya benih perjuangan Ahmad Boestamam melahirkan pemimpin tempatan seperti Abdul Latif Nasain (bekas Ketua Pemuda PAS Hilir Perak yang kemudian menjadi kepimpinan Pekemas pimpinan Ahmad Boestamam).

Beberapa stesen kereta api lain yang berdekatan ialah Tukang Sidin, Permatang dan Sungai Kerawai.

Ketiga-tiga stesen itu juga merupakan pusat gerakan anti-Inggeris dan tempat markas Perang Sabil (Perang Parang Panjang) sebelum darurat. Ia dipimpin Patuan Guru Haji Bakri.

Di Kuala Sungai Manik, Perikatan atau BN tidak pernah menang di peti undi di situ sejak 1955 hingga sekarang. Hal itu kerana kuatnya semangat anti-establishment yang tertanam.

Setelah Rashid Maidin ditangkap di Sungai Lampam, dia dimasukkan ke lokap Balai Polis Teluk Anson sebelum dibawa ke Taiping. Rashid Maidin kemudian dipenjara di Pulau Jerejak dan Tanjung Beruas, Melaka.

Dua ketua polis negara

Di pusat tahanan Tanjung Beruas, dia dapat melarikan diri dan terus bergerila di hutan bersama PKM selama lebih 40 tahun.

Darurat kemudian diistiharkan. Dalam tempoh tersebut, berpuluh ribu orang disumbat ke penjara. Ada yang dihukum gantung sampai mati. Ada yang lari ke seberang dan ada yang tiada khabar berita.

Yang lebih malang, sejarah perjuangan mereka digelapkan dan tenggelam daripada ingatan generasi kini.

Pada 1989 satu perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dengan PKM di Hadyai dimeterai. Antara yang bertangungjawab menjayakan perjanjian itu adalah Yusof Maidin.

Dialah yang menjadi antara orang perantara kerajaan Malaysia dengan PKM. Dia sendiri yang meredah hutan belantara dengan diiringi anggota PKM untuk menemui Rashid Maidin bagi membincangkan perdamaian dengan kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Negara ketika itu, Hanif Omar, adalah Mandailing yang berasal dari Teluk Intan. Seorang lagi anak Sungai Lampam yang menyertai polis juga melangkah ke tempat yang pernah diduduki Hanif.

Namanya Norian Mai. Dia orang Parit 21 Sungai Lampam.

Megat Junid Megat Ayob pula ahli parlimen Pasir Salak dan kampung kami semua berada di bawah parlimen itu.

Tiada kepastian sama ada mereka berbincang seperti berbincang sesama kawan sekampung mencari penyelesaikan masalah berzaman.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS