Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berpuluh-puluh kali kami ulangi bahawa politikus itu kerjanya ialah memuaskan nafsu mereka sendiri. Untuk puas mereka akan melakukan apa saja asalkan sampai ke puncak.

Bukanlah kami maksudkan bahawa mereka itu hanya memikirkan hal kelamin semata-mata.

Apa yang mahu kami sampaikan ialah, mereka - politikus itu - adalah sekumpulan manusia yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita untuk berkuasa.

Lalu kita dihiburkan dengan telatah tipu daya mereka setiap kali datangnya pilihan raya.

Mereka menjanjikan langit dan bersumpahkan bumi. Menganggap diri adalah Mahdi yang dijanjikan. Pada masa sama mereka menyebarkan dakyah bahawa sesiapa pun yang menentang adalah syaitan besar.

Pada masa tertentu mereka akan menangis bersimpati atas nasib malang yang menimpa kita, sepertinya kita dan mereka itu bersaudara.

Di ketika yang lain mereka akan bergembira bergelak bertepuk bertampar seolah-olah kita dan mereka membesar bersama.

Lakonan mereka adalah kerana mahukan kuasa. Dan lazimnya kuasa tidak datang sendiri. Kuasa datang dengan laba.

Justeru itu sajalah yang ada dalam fikiran mereka.

Setelah pilihan raya, yang kalah akan - untuk beberapa ketika - menjerit ke sana sini kerana menyangka mereka dianiaya. Sementara yang lain diam meratapi nasib sementara menunggu pusingan pilihan raya yang akan datang.

Yang menang akan terjerit-jerit kesukaan seperti tanggungjawab yang diperolehi itu adalah hadiah daripada tuhan. Mereka mabuk kerasukan. Setelah bertenang mereka akan mula memasang jalan untuk memegang jawatan paling atas dalam pentadbiran.

Apa saja akan mereka lakukan. Jika cara murni tidak berkesan lalu cara busuklah yang akan mereka kerjakan.

Malu tidak ada dalam kamus hidup mereka. Dibukanya semua untuk dilihat manusia. Dalam masa yang sama apa yang dilaungkan adalah keadilan.

Yang paling bodoh antara kita tentu saja yang memilih untuk berpihak secara mutlak. Berpihak tanpa syarat.

Kita pun ketawakan keaiban orang. Kita bergaduh sesama sendiri kerana mempertahankan kumpulan manusia hamis tadi. Bersoraklah kita yang menentang dan berasa malanglah kita yang menatang.

Biar perit tekak kami memberitahu kamu bahawa politikus ialah manusia jahat yang kerjanya mencari ruang untuk menonjolkan diri sendiri dan kamulah alat yang paling sesuai untuk dijadikan bidak dan tapak bagi menolak mereka ke atas.

Yang kamu nampak adalah kecaman kami ke atas kumpulan yang kamu sokong. Apabila kami nyatakan penentangan terhadap apa yang disarankan oleh kumpulan kamu (kerana ketidakadilan) kamu menganggap ia pengkhianatan.

Otak kamu sudah dibasuh dengan sebegitu hitam sehingga apa pun yang dikatakan mengenai keburukan kumpulan kamu, ia akan dianggap sebagai perbuatan sesat yang tidak nampak jalan terang hingga kiamat.

Walhal inilah masa yang paling sesuai untuk kamu turun kembali ke jalan bagi menyatakan kebosanan atas semua kebobrokan dilakukan politikus berkenaan.

Sudah sampai masanya kita mengambil hal ke tangan kita sendiri kerana - seperti yang kita semua ketahui - mereka, yakni politikus dari kumpulan mana sekali pun hanyalah mementingkan diri sendiri.

Bergelutlah mereka saban hari untuk keamanan hidup mereka sambil menjadikan kita sebagai tunggangan.

Sampai bila kamu mahu menjadi baghal yang ditunda? Taat seperti haiwan peliharaan. Manja kerana diberi makan, meminta-minta mahu disuapkan sentiasa dan tidak sedar bakal disembelih dan dagingnya dijual untuk laba.

Keluarlah dari kebodohan politik kepartaian. Berdoalah agar tuhan menjauhkan kita semua daripada syaitan dan politik yang berlawan nafsu siapa yang lebih tegang.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan - jika kamu mahu percaya - adalah ahli DAP yang kerjanya tidak lain ialah untuk memecah-belahkan Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS