Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Mengatur wawancara terpimpin menteri besar memakai pertanyaan yang sudah disiapkan sebelumnya oleh pelbagai pihak adalah salah satu beban berat yang cukup menguji peranan dan tanggungjawab seseorang setiausaha politik - itu ada pada saya.

Ini lebih-lebih lagi benar apabila Kelantan diterajui oleh sebuah parti pembangkang yang berlainan faham dan kepercayaan dari sudut siasah dengan trend politik perdana.

Tanpa berbincang dengan sesiapa, secara senyap-senyap saya membuat azam, sepanjang menjadi setiausaha politiknya saya mahu menjadikan sebarang wacana dengan Nik Abdul Aziz sebagai kesempatan membina citra majikan saya itu lebih jauh - jika boleh - hingga mampu melonjak dan melangkaui ketokohannya.

Sehabis tidak, namanya perlu sebesar ketulusan komitmen beliau terhadap Islam yang telah mejadi begitu sebati dengan dirinya.

Untuk itu, selain daripada melayan beratus-ratus pertemuan wawancara yang melibatkan allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pelbagai badan media, dalam dan luar sepanjang 10 tahun sebagai menyempurnakan tugas, saya sentiasa membuka jalan agar beliau mendepani pelbagai isu dengan memanggil sidang akhbar dari masa ke masa.

Saya melakukan ini semua justeru saya teramat yakin yang Tok Guru mempunyai takung ilmu yang lebih daripada mencukupi untuk menjual produk Islam yang sifatnya seluas alam.

Tanpa cerewet memilih topik, kami sedia mendepani segala. Ini justeru kami yakin dengan resam Islam itu sendiri yang menjadi rahmat ke sekelian alam (rahmatan lil ‘alamiin). Untuk itu, setelah selesai memberitahu beliau sepatah dan beliau tiada masalah, kami pun memulakan misi kami dalam kerangka besar itu menurut urutan.

Kata sepakat longgar berupa muafakat ini dicapai seawal tahun 2002 lagi yakni di tahun kedua saya berada di sisinya.

Tok Guru yang “hands on”

Jika pada zaman itu, tentu sekali tragedi seumpama kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat yang mengorbankan 21 kanak-kanak dan dua gurunya lima hari lalu itu misalnya tidak akan lepas daripada wawancara yang akan diatur dengan Menteri Besar Kelantan.

Begitu juga dengan pengumuman Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kembali semula menyertai Umno daripada PKR dalam satu sidang media khas perdana menteri di ibu pejabat Umno di PWTC petang semalam.

Jika beliau masih bersama kita, hampir wajiblah bagi Nik Abdul Aziz dikerumuni untuk diminta ulasan, pandangan dan komentar. Di ketika itulah allahyarham lazimnya akan mengambil kesempatan untuk memimpin massa dengan ilmu Islam dengan secermatnya.

Beliau akan memimpin khalayak untuk menyaksi dan membuat penilaian insiden dari kaca mata agama. Jika dia menegur, maka ditegurnyalah pihak pihak yang dikira perlu mengambil tanggungjawab. Bahkan kadangkala, dia turun mengatur dalam nada saranan yang membimbing jika sesuatu itu dikira belum terlintas di mata pemimpin Umno yang menguasai kerajaan di Pusat.

Apapun ironinya, ini semua tidak berlaku atau jarang berlaku di zaman mursyidul am yang ada sekarang, atau di zaman Presiden PAS terkini atau di zaman Menteri Besar Kelantan yang ada hari ini. Inilah perbezaan yang cukup ketara antara dua era; dahulu dan kini atau mungkin kemudian.

Wawancara dengan setiausaha politik

Selain wawancara yang melibatkan Tok Guru, saya juga turut sering juga diwawancara media dan majalah demi untuk mereka lebih memahami profil beliau dengan lebih dekat dari sisi mata setiausahanya.

Setelah mendapat lampu hijau, saya jarang menolak. Misalnya saya masih ingat respon saya ke atas soalan berbunyi:

Soalan 1:
Mudahkah menjadi setiausaha politik yang tidak tumbuh dalam politik?
“Tuan, sebelum ini walaupun menjadi ahli PAS, ketika menjawat jawatan Presiden PMUM lagi tetapi tuan agak tersembunyi di Pusat dan agak baru dalam kancah politik di Kelantan. Apakah mudah bagi tuan menjalankan tugas bersandarkan pendedahan yang relatifnya luas di pusat tetapi agak remote untuk memulakan sesuatu di sini bahkan dikhuatiri akan mudah terperosok di peringkat negeri?"
Jawapan 1:
Menjawab soalan ini, saya mengatakan: “Pertama-tamanya saya bukanlah layak sangat untuk ditemuramah secara eksklusif kerana masih ramai lagi tokoh yang berkelayakan. Bagaimanapun, terima kasihlah atas kesudian.

Untuk menjawab soalan kedua saudara yang menyentuh apakah mudah, bagi saya, tidak ada yang mudah dalam hidup. Apapun, saya lebih percaya kepada prinsip comparative advantage.

Kelebihan berbanding yang saya maksudkan di sini ialah saya berkesempatan untuk berada di luar hampir 20 tahun.

Melihat sesuatu dari luar dalam banyak hal amat membantu kita untuk lebih objektif. Saya masih ingat bagaimana seorang tokoh falsafah bernama David Henry Thurow yang pernah dengan sengaja keluar dari masyarakatnya untuk membuat penilaian. Ini justeru pada Henry, not until we are lost do we begin to understand ourselves.

Dia melontar dirinya jauh untuk membedah siasat masyarakat Amerika terlebih dahulu sebelum cuba mengulas tajam dan mengemukakan resipi cadangan bersifat pemulihan.

Pengalaman-pengalaman ini menjadi aset yang cukup sarat dalam membantu saya saat menjalankan tugas yang saya sandang. Jalinan dan rangkaian networking ini turut membantu accessibility saya dalam membuat capaian-capaian fakta dan maklumat dalam kadar yang lancar.

Saya melihat politik di alaf baru amat terkait dengan kesediaan bersinergi, penguasaan teknologi dan maklumat. Tanpa articulation  ini, penyertaan kita dikhuatiri akan cuma bersifat retorik.

Saya cukup elakkan diri daripada dipandang hanya timbul di air cetek. Dan ini saya tidak akan izinkan berlaku ke atas majikan saya yang bernama Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Hatta Nabi kita sendiri pun pernah membawa diri ke Gua Hira’ untuk menyediakan diri sebelum memulakan reformasi besar. Penulis-penulis besar saperti Pak A Samad Said atau Prof Shahnon Ahmad turut percaya teori pemendapan dan pemerhatian sebelum terjun untuk menghidang penemuan baru untuk dikongsikan dengan khalayak sasaran.

Jika takdirnya saya habiskan 20 tahun yang sama cuma di Kelantan bersama-sama dengan PAS, tentunya saya tidak akan banyak terdedah dengan ilmu-ilmu pengurusan, hal ehwal ekonomi dan kewangan, perancangan, belanjawan, pengurusan personel dan fungsi-fungsi penyelarasan yang luas, pemantauan pelaksanaan projek, dunia diplomatik seni dan kesusasteraan – menerjuni jerik pekik rata-rata masyarakat di kota kosmopolitan.”

Soalan 2:
Cukup bangga tuan dengan Tok Guru? Daripada cakap-cakap tuan, saya terkesan, tuan terlalu bangga terhadap Tok Guru, boleh tak diberikan alasan?

Saya menjawab:
“Saya mengkagumi Tok Guru atas dua alasan.
Pertama, beliau warak, ikhlas, berilmu dan beramal di atas ilmu. Ini lebih-lebih lagi apabila beliau amat berhikmah memilih ‘timing’ serta bentuk dan isi kandungan.

“Substance pun beliau ambil kira, manakala form pun beliau turut cerewet mempertimbangkan. Segala sesuatu itu sering disukat secukupnya. Sepuluh kali diukur, baru sekali dikerat!

Kedua, beliau bukan sekadar tokoh agama per se tetapi seorang yang versatile, volatile dan mempunyai stail tersendiri mengurus persoalan politik, manusia dan kemanusiaan. Semuanya dipadankan dengan waqi’ dan persekitaran. Ia “bil hal”.
Dengan kata lain, beliau amat lihai dan crafty dari segala sudut, seawal memilih strategi dan uslub dakwah dengan menilik suasana mantik letak duduknya sesebuah isu itu – di mana?

Beliau tahu bila perlu diam, tahu bila patut bersuara dan bila pula waktu untuk bangun bertindak.

“Ada juga orang asyik-asyik nak bercakap semata-mata untuk dilihat bijak dan banyak tahu. Ini tidak semestinya begitu,” pernah demikian tegasnya kepada saya di suatu hujung sore sewaktu kami sama-sama turun tangga melenggang santai mencari pintu pulang.

Tok guru selalu sebut, diam pun bijak kalau dah kena pada tempat. Setiap yang dijadikan keputusan tidak pernah lari dari sandaran al-Quran dan hadis. Ada masanya beliau sengaja menampakkan dirinya mengalah untuk rupa-rupanya bangkit berdiri sambil mengorak langkah panjang yang sifatnya di luar jangka.

Ini mampu meninggalkan seteru terpinga-pinga pada lazimnya. Dalam keadaan salah sangka untuk membaca rentak Tok Guru inilah, ada yang berniat serong mudah tersengguk!

Cuma, saya tidaklah pula menjadi pelajar tadika yang cuma tahu menumpang dan asyik mengunyah. Saya juga memberi jika diminta pandangan untuk memperkaya dan menghasilkan. Di atas alasan-alasan inilah saya mengagumi beliau.

Idea beliau sentiasa segar dan mudah mengalir; ada unsur dinamik dan bergerak-gerak. Yang lebih menarik ialah setiap rentak pergerakan disandarkan di atas tali-tali ilmu Allah, sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang sentiasa sesuai dengan semua zaman. Lihatlah produk-produk yang sempat dihasilkan.

Segalanya amat kaya dengan falsafah yang digali dari khazanah Islam. Contoh-contoh seperti ar-Rahn, cuti dua hari seminggu, pemindahan akaun kerajaan ke Bank Islam, skim kifalah dan armalah adalah antara contoh yang dikagumi oleh lawan dan teman.

Bersama satu dua exco kegemarannya beliau kelihatan bersahaja dalam banyak ketika tetapi yakin dan tetap bergaya pada kebanyakan masa.

Inilah Nik Aziz yang saya kagum dan yang saya maksudkan.


ANNUAL BAKRI HARON adalah bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS