Calon Bebas bagi kerusi Parlimen P118 Setiawangsa, Mejar (B) Mior Rosli berkata, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, beliau akan terus menumpukan perhatiannya terhadap pembangunan semula Setiawangsa demi kesejahteraan penduduk kawasan tersebut.
5 inisiatif yang menjadi fokus utama Mejar (B) Mior Rosli ialah:
Naikkan taraf rumah kos rendah

Kebanyakan rumah kos rendah di Setiawangsa tidak mempunyai ruang yang besar dan majoritinya hanya mempunyai 2 bilik sahaja. Ini adalah tidak selesa dan tidak sesuai terutamanya bagi keluarga yang mempunyai ramai orang dewasa.
“Justeru, saya bercadang untuk mengubahsuai pelan rumah tersebut, menjadikannya daripada 3 buah rumah kepada 2 buah rumah sahaja. Lot perumahan baru akan dibangunkan untuk keluarga yang menduduki rumah tersebut sebelum ini. Usaha ini akan meningkatkan taraf hidup penduduk di Setiawangsa,” kata beliau.
Mewujudkan peluang perniagaan di sekitar Setiawangsa

“Selepas membuat tinjauan di beberapa gerai terutamanya yang terletak di tepi jalan, saya mendapati kebanyakan daripada mereka telah menjalankan perniagaan selama bertahun-tahun, dan setiap kali ahli bandaraya datang, peniaga-peniaga ini akan dihalau”.
“Oleh itu, saya ingin membina lebih banyak gerai makanan supaya peniaga-peniaga ini dapat menjalankan perniagaan mereka tanpa risau,” ujarnya.
Mewujudkan sekurang-kurangnya 10 pusat khidmat masyarakat
Jika sesuatu kawasan hanya mempunyai sebuah pusat khidmat masyarakat dan sekiranya pada masa yang sama ia terletak jauh dari kawasan perumahan, ini akan menyusahkan komuniti setempat untuk membuat sebarang aduan.
“Maka, saya bercadang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10 pusat khidmat masyarakat di Setiawangsa supaya penduduk yang menghadapi sebarang masalah boleh mengunjung ke pusat khidmat masyarakat yang terdekat untuk membuat aduan dan meminta bantuan. Saya juga akan melawati pusat tersebut dari semasa ke semasa.”
Sebuah kawasan parlimen kotaraya yang mempunyai gaya hidup sihat dan efisien
Salah satu isu yang dihadapi Setiawangsa selama ini adalah kekurangan kawasan hijau.
Ruang hijau di bandar memainkan peranan penting untuk memelihara kesejahteraan persekitaran. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai ruang khusus untuk aktiviti rekreasi tetapi juga untuk memupuk gaya hidup yang sihat.
“Malangnya, kebanyakan kawasan rekreasi ini telah dijual kepada syarikat-syarikat besar untuk aktiviti pembangunan. Oleh itu, saya ingin menjadikan Bukit Dinding sebagai sebuah pusat rekreasi di mana orang ramai boleh pergi ke sana untuk menikmati suasana kehijauan alam semula jadi”.
Mengkoordinasikan peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk anak muda
Pengangguran dalam kalangan belia bukan fenomena baharu di negara ini dan terdapat beberapa faktor utama yang mendorong kepada peningkatannya.
“Saya pernah menjadi pensyarah di beberapa universiti, dan saya dapati masih terdapat ramai anak muda yang mempunyai ijazah tetapi masih menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan,” ujar beliau.
“Universiti yang menawarkan kursus tanpa sijil MQA (Malaysian Qualification Agency) adalah satu perkara yang amat membimbangkan. Jika golongan belia tamat pengajian di institusi sebegini, kemungkinan besar kebanyakan syarikat tidak akan memberi peluang pekerjaan kepada mereka”.
“Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk memantau universiti sebegini. Selain itu, kerajaan juga boleh memupuk anak-anak muda belajar di sekolah vokasional untuk membina kemahiran hands-on yang sesuai untuk industri yang berlainan yang mereka minati,”
“Bagi kawasan Setiawangsa, saya ingin memperkenalkan bengkel vokasional tertentu untuk melatih individu-individu yang berminat dan berbakat dalam bidang teknik supaya mereka dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka bagi memenuhi keperluan industri dan mendapat gaji yang lebih baik”.

Mejar (B) Mior Rosli akan bertanding untuk kerusi parlimen P118 Setiawangsa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022.