Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan awal kepada keluarga mangsa insiden kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, yang turut menjejaskan kawasan sekitar termasuk Kampung Kuala Sungai Baru.
Sebagai langkah awal, LZS menyalurkan bantuan segera berjumlah RM500 kepada setiap ketua keluarga Muslim yang terkesan bagi meringankan beban mereka. Bantuan ini tidak terhad kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS, tetapi juga kepada mangsa bukan asnaf yang turut terjejas dalam tragedi ini.
Sehubungan itu bagi memastikan penyaluran bantuan berjalan lancar, LZS mengaktifkan portal khas bagi memudahkan mangsa membuat permohonan secara dalam talian. Permohonan boleh dilakukan di pautan https://lzspeduli.zakatselangor.com.my/kebakaranpipelinegas mulai 2 April sehingga 15 April 2025, dengan mengemukakan laporan polis atau pengesahan daripada wakil pimpinan masyarakat melalui portal khas yang disediakan.
Bermula hari ini, LZS menempatkan Lori ZASSS (Zakat Selangor Sana Sini) di Masjid Putra Heights sebagai kaunter perkhidmatan sementara bagi memudahkan mangsa insiden kebakaran dan keluarga mereka mendapatkan bantuan secara langsung, tanpa perlu hadir ke mana-mana cawangan LZS.
Melalui penyediaan portal khas dan penempatan Lori ZASSS di lokasi kejadian, LZS memastikan akses kepada bantuan dipermudahkan serta disampaikan dengan segera dan berkesan.
Bantuan Berterusan & Pemulihan Jangka Panjang
Selain bantuan awal bermula dari hari kejadian, LZS turut menyediakan bantuan susulan membantu mangsa bangkit semula pasca bencana. Ini termasuk menyediakan bantuan baik pulih rumah, bantuan bina rumah dan bantuan sewa rumah bagi asnaf yang kehilangan tempat tinggal serta bantuan musibah bencana kebakaran bagi mangsa bukan asnaf yang terjejas.
LZS komited memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara dan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Bencana Daerah serta agensi berkaitan bagi mendapatkan senarai penuh mangsa, khususnya dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.
Seiring dengan usaha membantu mangsa kebakaran ini, LZS membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang zakat melalui CrowdZakat di pautan https://crowdzakat.zakatselangor.com.my/portal-main/campaign-details/kebakaranpetaling . Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung keperluan mendesak serta pemulihan jangka panjang mangsa tragedi ini.
Tindakan Segera Sejak Hari Pertama Tragedi
Terdahulu sejak hari pertama tragedi, LZS telah bekerjasama dengan Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights menyalurkan bantuan makanan bermasak kepada mangsa yang ditempatkan di kedua-dua masjid tersebut.
Pasukan Operasi Agihan Daerah Petaling turut digerakkan ke lokasi bagi mengagihkan bantuan makanan kering, keperluan asas dan barangan kebersihan diri di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Kenyataan Rasmi Daripada,
Divisyen Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor
Kandungan ini disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.