Kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengagihkan dividen tahunan yang melebihi kadar minimum wajib 2.5 peratus sejak lebih empat dekad mencerminkan iltizam badan berkanun itu memastikan pertumbuhan jangka panjang simpanan persaraan hari tua pencarum yang mencukupi.
Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias berkata, apa yang terzahir itu membawa maksud KWSP mampu memberikan pulangan wajar walaupun ekonomi dan pasaran semasa mengalami ketidaktentuan.
“Hakikatnya, KWSP secara konsisten membayar dividen melebihi kadar tersebut sejak 1960. Hal itu berlaku walaupun kadar dividen mengalami turun naik dalam julat 4 peratus hingga 8.5 peratus,” katanya.
Menurut Suhaimi, kejayaan KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus untuk simpanan konvensional dan syariah bagi 2024 pada 1 Mac lalu adalah hasil daripada strategi pelaburan berhemah serta dasar kepelbagaian pelaburan yang diamalkan oleh institusi keselamatan sosial itu.
Kata beliau, ekonomi global dan domestik mencatat pertumbuhan yang kukuh pada 2024 dengan pertumbuhan global kekal mampan pada 3.2 peratus (2023: 3.3 peratus) manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia meningkat kepada 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2023.

Tambahnya, pertumbuhan itu mendorong kenaikan indeks pasaran saham global sebanyak 17 peratus dan tempatan (12.9 peratus) serta pulangan pelaburan dari pasaran bon tempatan (4.3 peratus) walaupun pasaran bon global mencatat sedikit penurunan 1.7 peratus.
“Secara keseluruhan, 90 peratus daripada pelaburan KWSP adalah dalam pasaran saham dan bon.
“Pada masa yang sama, KWSP turut melabur dalam aset seperti infrastruktur dan hartanah yang menawarkan pulangan jangka sederhana dan panjang.
“Pelaburan ini membolehkan KWSP memperoleh keuntungan selepas tempoh tertentu,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Suhaimi, kadar dividen bagi 2024 tidak semestinya menjamin dividen sama atau lebih tinggi untuk tahun ini.

Kata beliau, prospek ekonomi dan pasaran kewangan semasa masih perlu diambil kira kerana ini boleh mempengaruhi pulangan pelaburan KWSP.
“Ketika ini, kita berdepan dengan ketidakpastian luaran, terutamanya dasar ekonomi dan perdagangan Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump, serta kesannya terhadap pasaran kewangan global.
“Pencarum juga disarankan untuk berhemah dalam membuat pengeluaran KWSP sebelum persaraan, dengan mempertimbangkan keperluan sebenar serta memberi keutamaan yang setimpal atau lebih terhadap tabungan dan simpanan persaraan mereka,” katanya.
Mengulas dari segi implikasi terhadap pasaran modal, KWSP menurut beliau, masih berada dalam fasa peningkatan dana pelaburannya.
Katanya, tahun lalu, jumlah dana pelaburan meningkat sebanyak 10 peratus berbanding 2023 kepada RM1.25 trilion dan ia dijangka meningkat sebanyak RM120 bilion tahun ini.

“Ini didorong oleh caruman bulanan yang terus melebihi pengeluaran, di samping usaha berterusan untuk menggalakkan pekerja dalam sektor tidak formal turut mencarum.
“Perkembangan ini memberi kesan positif kepada pasaran modal tempatan kerana KWSP mempunyai sumber yang mencukupi untuk terus melabur bagi menjana pulangan, yang seterusnya menentukan kadar dividen tahunan,” katanya
KWSP menunjukkan daya tahan yang kukuh dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar dengan mengumumkan dividen sebanyak 6.30 peratus untuk simpanan konvensional dan syariah pada 2024.
Ini adalah petunjuk bahawa walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global dan tempatan, KWSP berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu dana persaraan paling stabil di dunia.
Jumlah pembayaran dividen terbabit mencecah RM73.24 bilion, dengan RM63.05 bilion diperuntukkan untuk simpanan konvensional manakala RM10.19 bilion untuk simpanan syariah.