KUALA LUMPUR, 15 Mac 2023 - MATTA Fair Kuala Lumpur 2023 kembali lagi untuk edisi yang ke-52, menjadi acara terbesar sejak ia ditubuhkan. Buat julung kalinya, pameran pelancongan yang dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) itu diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Menurut penganjur, pameran pelancongan ini dijangka menjana jualan sehingga RM400 juta dengan sasaran 250,000 orang pengunjung. Angka ini melebihi jumlah tertinggi pengunjung pada 2019 iaitu seramai 113,685 orang. MATTA Fair 2023 juga mencatat rekod baharu sebagai pameran pelancongan antarabangsa terbesar di rantau ini dengan penganjuran di MITEC. Ketiga-tiga tingkat dan ruang yang memenuhi lebih 37,000 meter persegi di hab penyedia pusat pameran tersebut bakal dipenuhi oleh pelbagai agensi pelancongan.
Pameran yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 Mac ini turut disertai oleh KOPETRO melalui anak syarikatnya, KOPETRO Travel & Tours (KOPETRO Travel) yang merupakan syarikat pengurusan pelancongan berlesen dan ahli MATTA. Sebagai pusat sehenti pelancongan yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam satu payung, pelbagai promosi menakjubkan ditawarkan oleh KOPETRO Travel di MATTA Fair kali ini.
Antara tarikan utama promosi pakej pelancongan yang ditawarkan oleh KOPETRO Travel di MATTA Fair adalah pakej 10 hari 7 malam ke Pantai Barat Amerika Syarikat yang meliputi lokasi-lokasi ikonik seperti Golden Gate Bridge di San Francisco, Hollywood Boulevard di Los Angeles, Grand Canyon dan Las Vegas pada harga bermula RM11,590 sahaja. Pengunjung juga boleh mendapatkan pakej ke kawasan Pantai Timur negara ‘Uncle Sam’ itu dan merasai sendiri pengalaman melancong ke New York, Washington, Philadelphia dan Miami yang boleh didapati bermula RM12,490.
Selain ke Amerika Syarikat, pakej 10 hari tujuh malam ke Turkiye juga sentiasa menjadi pilihan ramai dan boleh ditempah dengan harga bermula RM4,990. KOPETRO Travel turut menawarkan pelancongan ke destinasi menarik di Eropah Timur dan Eropah Barat dengan ‘harga runtuh’. Antaranya, pakej percutian ke Balkan yang meliputi Macedonia, Albania, Montenegro, Bosnia dan Croatia boleh didapati dengan hanya RM7,588 sahaja.
Bagi mereka yang ingin melancong ke lokasi-lokasi ikonik di Eropah Barat seperti Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda dan Jerman, pakej dengan harga bermula RM8,399 boleh dinikmati apabila anda mendapatkannya di tapak pameran kami. Selain itu, pakej 10 hari tujuh malam ke Pergunungan Alps yang merangkumi Switzerland, Austria dan Jerman turut ditawarkan dengan harga bermula RM8,960.
Pengunjung yang hadir ke MATTA Fair kali ini juga berpeluang mendapatkan tiket perjalanan ke Jepun melalui pakej Japan Rail Pass di mana pelanggan bakal menikmati pengalaman mengembara ke pelbagai lokasi di negara ‘Matahari Terbit’ itu dengan selesa menaiki kereta api.
Tidak terhad kepada tawaran pelancongan ke luar negara sahaja, KOPETRO Travel juga menyediakan pelbagai pakej percutian domestik, pakej taman tema seperti di Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun serta pakej pelayaran Resorts World yang sememangnya menjadi pilihan pelanggan. Pelayaran yang bermula daripada Port Klang ke Singapura dan kembali ke Port Klang boleh didapati dengan harga promosi, selain potongan harga ditawarkan kepada kanak-kanak dan warga emas.
Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata KOPETRO Travel sekali lagi menyertai pameran pelancongan MATTA Fair Kuala Lumpur seperti tahun-tahun sebelumnya dengan menawarkan pakej pelancongan yang bertepatan dengan kemampuan rakyat Malaysia.
“Umum mengetahui MATTA Fair merupakan satu platform untuk pengguna memilih destinasi percutian impian mereka dengan mudah pada harga promosi. ‘Perang harga’ di antara semua pengendali pelancongan ini sangat menarik dan menjadikan pameran ini meriah. KOPETRO Travel tampil dengan pakej lengkap yang pasti memenuhi keinginan dan memudahkan perjalanan setiap pelanggan,” ujar Ahmad Shakir.
Jelasnya, KOPETRO Travel sentiasa komited menyediakan pakej pelancongan terbaik dengan mutu perkhidmatan yang tinggi, selain menghasilkan produk-produk pelancongan yang menepati keperluan dan keinginan masyarakat.
Pengunjung yang hadir ke tapak pameran KOPETRO Travel bernombor 3013-3024 dan membuat tempahan mana-mana pakej pelancongan berpeluang untuk memenangi percutian ke lokasi-lokasi terkemuka dalam dan luar negara bernilai sehingga RM30,000 melalui kempen Jom Cuti Sakan. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti cabutan bertuah sepanjang tiga hari pameran dan berpeluang mendapatkan hadiah dan cenderahati seperti tag bagasi, pemegang pasport, travel adapter dan banyak lagi.
Pameran pelancongan terbesar MATTA Fair ini sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia setiap tahun terutamanya bagi mereka yang inginkan pakej percutian dengan tawaran hebat.
KOPETRO Travel mempunyai hampir 40 tahun pengalaman pengurusan pelancongan yang menyediakan rangkaian perkhidmatan serta nilai tambahan yang komprehensif untuk memudahkan percutian pelanggan melalui hubungan strategik dengan rakan niaga di seluruh dunia.
Pelbagai anugerah telah berjaya dirangkul sejak syarikat ini ditubuhkan, antaranya Agensi Malaysia Terbaik Keseluruhan daripada Malaysia Airlines dan Rakan Perdagangan Paling Bernilai oleh Qatar Airways pada tahun 2023. Sebelum ini, KOPETRO Travel juga diberi penghargaan Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award bagi kategori Riadah - Solusi Percutian dan Pelancongan pada tahun 2022 selain anugerah “Annual Million Dollar Award” daripada Malaysian Airlines.
KOPETRO Travel juga telah berjaya dilantik sebagai salah satu agensi pelancongan di bawah agensi antarabangsa iaitu “The Advantage Global Network”. Penyertaan ini sekaligus membolehkan para pelanggan KOPETRO Travel mendapatkan pelbagai perkhidmatan pelancongan di seluruh dunia. Selain itu, syarikat ini juga merupakan agensi di bawah International Air Transport Association (IATA) yang diakreditasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai KOPETRO Travel, layari laman web www.kopetrotravel.com.my atau ikuti akaun media sosial @kopetrotravel di Facebook, Instagram dan TikTok.
Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad.