ULASAN | Umpama ular bersalin kulit, Konvensyen Amanah Nasional yang berlangsung baru-baru ini tidak menepati jangkaan segelintir perwakilan berkenaan akan berlakunya perubahan drastik.
Presiden Mohamad Sabu atau Mat Sabu kembali menerajui parti untuk penggal terakhirnya, lantas mematikan hasrat segelintir pihak yang mahukan muka baru memegang tampuk kepimpinan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Mujahid Yusof Rawa yang kuat dicanang untuk mengisi kerusi presiden pula menjadi timbalan presiden.
Namun, bintang sebenar pada konvensyen kali ini pastilah Menteri Kesihatan yang baru dilantik iaitu Dr Dzulkefly Ahmad.
Bukan saja dilantik menjadi pengganti Salahuddin Ayub bagi kuota menteri Amanah, bahkan ahli parlimen Kuala Selangor itu mendapat undian tertinggi daripada kira-kira 1,000 perwakilan yang memilih.
Seharusnya, penamat yang baik untuk Konvensyen Amanah Nasional kali ketiga ini adalah dengan Dr Dzul sekurang-kurangnya memegang jawatan timbalan presiden.
Selepas PRU15, ada cakap-cakap yang timbul - 'yang kalah jadi menteri, yang menang tak dapat apa-apa' - merujuk kepada pelantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang kalah di tangan Dr Dzul di Kuala Selangor sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri. Dr Dzul yang ketika itu dijangka kembali menjadi menteri pula dipinggirkan.
Justeru, mungkinkah 'keadilan' kembali tertegak selepas Dr Dzul dilantik menjawat portfolio lamanya dalam kabinet Kerajaan Perpaduan?
Tentunya sekarang, pasukan baru ini ditagih untuk mengangkat peranan Amanah dalam kerajaan kerana selain Dr Dzul, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari serta bekas Exco Selangor Dr Mariah Mahmud turut dilantik menjadi naib presiden.
Dalam mengenang 'Rahmah' yang dibawa bekas timbalan presiden Allahyarham Salahuddin Ayub, sungguh pun ada tapi tak banyak diperkatakan sepanjang konvensyen. Paling tidak pun, tak sebanyak isu berkaitan dana dan peruntukan yang dibangkitkan para perwakilan.
Keadaan jadi lebih canggung
Dalam mana-mana parti, isu peruntukan dan kewangan sememangnya menjadi agenda utama dan kadang kala sensitif. Namun tidak dapat dipastikan apakah atas sebab sama konvensyen Amanah berlangsung sederhana, itu amat berbeza dengan Muktamar PAS ke-69 yang jauh lebih 'mewah'.
Seminggu sebelum muktamar berlangsung, pihak media telah diberi penerangan dan panduan membuat liputan, berbeza dengan Amanah yang lebih 'senyap' walaupun banyak media bersedia memberi liputan atas statusnya sebagai parti dalam kerajaan.
Ia secara tidak langsung sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, parti mana sebenarnya berada dalam kerajaan? Atau mungkin juga ia salah satu sifat rahmah.
Perihal lantikan politik turut disentuh perwakilan bahkan ada yang meminta diwujudkan senarai individu-individu yang dilantik atas kapasiti parti ke dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tujuannya supaya mudah untuk ahli memohon dana mahupun peruntukan bagi menjalankan program parti. Ironinya, jika ahli juga tidak kenal, pasti keadaannya lebih canggung buat kakitangan agensi atau GLC yang terbabit.
Apa pun, melangkah ke hadapan, mungkin untuk menjadi lebih progresif, Amanah boleh menjadi lebih "peduli".
Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (Awan) juga masih mengekalkan muka lama tapi paling menarik perhatian adalah bekas naib ketua Awan Anfaal Shaari yang mendapat undian tertinggi walaupun nyaris tewas pada PRN Selangor lalu di kerusi Dun Templer.
Setelah memenangi kerusi Dun Templer, anak sulung kepada veteran politik Shaari Sungib itu terus dilantik sebagai Exco Selangor dan kini menjadi timbalan ketua Awan - transisi pantas buat wakil rakyat muda itu.
Pemilihan Pemuda Amanah pula walaupun tidak hangat tetapi tetap ada kontroversi, antaranya membabitkan isu kesalahan pada kertas undi dan perwakilan tidak sah.
Di sebalik semua itu, Senator Hasbie Muda berjaya mempertahankan jawatannya sebagai ketua pemuda dan mendapat mandat memimpin sayap itu bagi satu penggal penuh serta dibantu seorang lagi wakil rakyat muda Selangor iaitu Adun Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid, sebagai timbalan.
Mungkinkah satu kebetulan apabila ramai pemimpin dari Selangor yang diangkat pada pemilihan kali ini, ia sesuatu yang tidak dapat dipastikan.
Ramai perwakilan mengharapkan Amanah seharusnya dapat menyaingi parti pembangkang dalam menjuarai naratif Islam di arena politik tanah air, terutama dalam isu 'Islam terancam'.
Dalam masa tiga tahun ini, kita akan melihat adakah golongan teknokrat ini mampu memenangi hati rakyat dan menjuarai hal ehwal pengundi muda.
Di sebalik semua cita-cita dan harapan, hala tuju Amanah masih perlu diperkuatkan kerana hakikatnya walaupun 'bersalin kulit', Amanah masih muka lama.
SHAMZ JOHAN adalah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.