Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa dia tidak tahu-menahu mengenai dakwaan terdapat usaha pihak tertentu menarik BN keluar daripada kerajaan perpaduan.
Kata ketua panel penasihat kepada empat kerajaan negeri PN (SG4) itu, dia hanya bertindak memberi nasihat berhubung hal-hal pembangunan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Saya tidak tahu, saya hanya penasihat kepada SG4 saja. Kebanyakannya pasal pembangunan, bukan hal politik,” katanya ringkas kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Idealis: Syed Hamid Albar di Kuala Lumpur, hari ini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta media untuk mengulas dakwaan terdapat usaha membentuk kerajaan baru melalui pujukan agar BN meninggalkan kerjasama mereka dengan PH.
Ia didedahkan oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, pada 24 Nov lalu yang mengaku ada pihak tertentu berbincang malah menawarkan dirinya menjadi perdana menteri.
Sementara itu, ketika berucap melancarkan buku biografi berkisar tentang sejarah dan penglibatan Syed Hamid, Mahathir berpandangan Malaysia perlu mengamalkan sistem dua parti.
Dia yang sebelum ini menjadi perdana menteri sebanyak dua kali berkata, sistem dua parti dapat menyelesaikan polemik politik di negara ini, sekali gus memastikan sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh dapat dibentuk.
‘Ramai keluar Umno termasuk saya’
Mengambil contoh sistem dua parti yang dilaksanakan di United Kingdom dan AS, Mahathir berkata, keadaan itu membolehkan kerajaan di negara tersebut dibentuk oleh sebuah parti yang memiliki majoriti kukuh.
“Berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia ketika ini, terdapat banyak parti politik ditubuhkan termasuk sekurang-kurangnya lima buah parti pecahan daripada Umno
“Kenapa Umno berpecah? Itu kerana kepimpinannya tidak berusaha untuk menyatupadukan ahli-ahli, tidak berpegang kepada perjuangan sebenar Umno.
“Perjuangan Umno itu sebenarnya agak mudah iaitu untuk bangsa, negara dan agama…tetapi perjuangan itu dialihkan kepada perjuangan cash is king.
“Sebab itu banyak ahli Umno tidak begitu setuju dan mereka keluar daripada parti termasuklah saya,” katanya yang sebelum ini menubuhkan Bersatu dan Pejuang.
Tambah Mahathir, kewujudan banyak parti politik di negara ini turut menyebabkan sokongan pengundi berpecah, sekali gus tidak ada parti politik yang berjaya mendapat majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.
“Sebab itu apa yang dapat kita lihat hari ini adalah kerajaan (PH dan BN) yang wujud ini adalah kerajaan yang ditolak oleh pengundi.
“Kerajaan hari ini bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kedua-dua parti (PH dan BN) ditolak oleh rakyat, tetapi mereka bergabung dan ada majoriti, tetapi ini bukan kerajaan yang sebenarnya disokong oleh majoriti rakyat.
“Jadi kalau nk selesaikan masalah ini, kita kena kurangkan parti politik kepada hanya dua,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata dia juga bersedia menjadi mentor kepada mana-mana individu yang berhasrat menjadi perdana menteri.
Katanya sesiapa yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri mereka boleh datang ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
"Saya akan ajar awak bagaimana untuk menjadi perdana menteri,” katanya ketika disoal hadirin apakah nasihat yang ingin diberikan kepada generasi sekarang.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata keadaan politik sekarang jauh berbeza berbanding dahulu yang baginya lebih mudah.
"Kita tak perlu memberi inspirasi untuk jadi perdana menteri. Tiada persoalan tentang siapa yang patut jadi perdana menteri pada masa dulu.
"Tapi sekarang, mereka bentuk parti untuk jadi perdana menteri. Jadi, saya cadangkan lantik bukan seorang tapi beberapa orang. Semua orang boleh gembira kerana dapat jadi PM," katanya secara sinis.