Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Polis tumbuk OKU tak digantung tugas, turun pangkat, pecat?'
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 1:00 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Seorang ahli parlimen DAP melontarkan soalan sama ada tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota polis yang menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak.

“Saya nak tanya: Lans Koperal Taufik ini kena gantung tugas ke, turun pangkat, atau dipecat?

“Atau memang tidak ada tindakan disiplin lain yang akan diambil?” soal ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng di X.

Bercakap kepada Malaysiakini, dia berkata tindakan lanjut perlu diambil terhadap Taufik untuk memulihkan keyakinan orang ramai.

"Jika tidak, ia akan menghantar mesej yang salah dan menghakis kepercayaan terhadap proses undang-undang," katanya.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendenda Taufik RM1,00 kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, seorang pemandu pekak sekitar jam 11.40 pagi di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Semasa kejadian, dia sedang mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut menggesa tindakan diambil.

Tangkap layar rakaman video ketika kejadian

Ong dan Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) menyatakan kekecewaan mereka dengan "hukuman ringan" yang dijatuhkan itu.

Malah menurut mangsa selepas menunggu berbulan-bulan, dia kecewa kerana gagal melihat kelibat anggota polis yang menyerangnya itu. Manakala Dawn pula memberi amaran bahawa penghakiman itu menjadi contoh yang berbahaya.

Bagi ahli Parlimen Pasir Gudang Hasan Karim, yang pernah membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat pada 24 Okt, dia lega kerana anggota polis menyerang Ong akhirnya dituduh di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan.

“Walaupun mengambil masa lima bulan barulah dibawa ke mahkamah tetapi dari aspek positifnya ialah Pendakwa Raya mendengar desakan sivil society, peguam dan ahli parlimen.,” katanya.

Hasan Karim

Pemimpin lantang dari PKR itu berkata, walaupun hukuman itu dilihat ringan tetapi dengan fakta orang yang dituduh itu mengaku salah maka magistret menganggap pengakuan bersalah itu sebagai mitigasi untuk hukuman diringankan.

“Selain itu orang kena tuduh itu masih bertugas sebagai seorang anggota polis. Laporan akhbar menyatakan bahawa pihak polis juga telah mengambil tindakan dalaman berupa tindakan disiplin ke atas anggota polis tersebut.

“Jika hukuman terlalu berat sama ada denda dan penjara mungkin membawa kesan anggota polis itu hilang kerja sebagai seorang penjawat awam.

“Jadi saya percaya majistret telah mengambil kira secara holistic apabila menjatuhkan hukuman tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa tindakan tatatertib yang diambil terhadap pegawai itu tidak berkaitan dengan serangan itu tetapi atas kegagalannya mengisytiharkan hartanya dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa tindakan tatatertib yang diambil terhadap anggota polis itu tidak berkaitan dengan serangan tersebut tetapi disebabkan kegagalannya mengisytiharkan harta dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Razarudin Hussain berhujah bahawa jika siasatan dalaman kedua dimulakan berhubung serangan itu, ia akan menjadi kes double jeopardy.

Pelbagai pihak mempersoalkan jika terdapat campur tangan dalam perkara itu berikutan kelewatan pendakwaan walaupun serangan tersebut dirakamkan melalui kamera dashcam.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS