Insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena semasa perlawanan pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia semalam tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja memalukan, malah memberi imej tidak baik terhadap Malaysia.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberi penjelasan segera terhadap kejadian ini.
Katanya, ini bukan kali pertama faisiliti sukan di negara ini mengalami kerosakan.
"Ia bukan hanya mencalarkan imej Malaysia di mata dunia yang dilihat tidak melaksanakan persediaan rapi bagi penganjuran sukan, tetapi juga ia melibatkan aspek keselamatan serta nyawa manusia.
"Ini bukan kali pertama fasiliti sukan mengalami kerosakan semasa acara antarabangsa. Semasa Pesta Bola Merdeka 2023, terdapat insiden rumput koyak ketika perlawanan Malaysia dengan India di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Terdapat juga isu yang membabitkan Stadium Hoki Nasional, di mana acara sukan bertembung dengan acara konsert, sehingga membangkitkan kebimbangan berlaku kerosakan kepada rumput yang bakal menjejaskan perlawanan hoki," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil memohon maaf kepada semua pihak, terutama penganjur dan peminat sukan badminton, berikutan insiden kebocoran bumbung berkenaan sehingga mengganggu perjalanan kejohanan itu.
Aksi pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu susulan kebocoran itu.
Menurut kenyataan PSM, kebocoran itu berpunca daripada proses penggantian bumbung lama yang telah digunakan sejak 1998.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, projek penggantian bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula pada pertengahan 2024 dan dijangka selesai dalam tempoh setahun dan sepanjang tempoh ini, Axiata Arena tetap dibuka untuk acara.
"Kebocoran berlaku akibat titisan air hujan yang terkena gelanggang, PSM bersama kontraktor bertindak pantas dengan mengalihkan air dan memastikan gelanggang boleh digunakan semula pada jam 8 malam.
"Usaha tambahan dilakukan untuk mengelakkan masalah sama berulang pada hari berikutnya," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mike berkata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.
"Hannah tidak boleh sekadar memohon maaf sahaja, sebaliknya perlu memberi jaminan bahawa perkara memalukan ini tidak akan berlaku, apatah lagi apabila ia membabitkan acara antarabangsa di mana Malaysia menjadi tumpuan dunia.
"Penjelasan juga perlu diberi atas kerosakan infrastruktur sukan baru-baru ini. Adakah ini kerana KBS gagal mendapatkan peruntukan daripada kerajaan untuk menyelenggara dan menambah baik fasiliti tersebut?
“Jika peruntukan ada, beliau harus menjawab mengapa fasiliti tersebut masih rosak? Jika peruntukan tidak ada, maka mengapa KBS gagal mendapatkan peruntukan?" katanya lagi.