Skuad bola sepak kebangsaan bakal berdepan dengan Laos dan India dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada bulan depan.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Harimau Malaya akan berdepan Laos di Bangkok pada 14 November ini.
“Skuad Harimau Malaya akan terbang terus dari Bangkok ke India bagi perlawanan kedua menentang India. Venue perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata FAM dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Untuk rekod, skuad kebangsaan kini berada di kedudukan ke-133 Fifa, manakala India di tangga ke-125 dan Laos di tangga ke-187.
Skuad kebangsaan dilihat berdepan kesukaran bagi mendapatkan pasukan yang lebih kuat untuk perlawanan persahabatan Tier 1.
Isu tersebut juga ada disebut para pengguna Facebook di ruangan komen FAM, dengan rata-ratanya berkata skuad negara sepatutnya mengadakan perlawanan dengan negara yang memiliki ranking Fifa yang lebih tinggi.
Awal bulan ini, Malaysia gagal mendapatkan perlawanan persahabatan dengan lapan pasukan Oceana - antaranya Fiji, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon - sebagai persiapan untuk berdepan New Zealand dalam aksi antarabangsa Tier 1.
Ini kerana pasukan tersebut mempunyai komitmen lain untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada waktu tersebut, menurut jurulatih Harimau Malaya Pau Marti Vicente seperti dipetik Berita Harian pada 6 Oktober lalu.
Ia digantikan dengan perlawanan persahabatan Tier 2 dengan sebuah kelab utama di New Zealand, kata Vicente lagi.
New Zealand kemudian menundukkan skuad negara dengan keputusan 4-0 pada perlawanan yang diadakan pada 14 Oktober lalu.