Sesi pemulihan dan rehat yang secukupnya menjadi fokus Selangor FC menjelang pertemuan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi tumpuan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.
Ketua Jurulatih Selangor Nidzam Jamil berkata perhatian kini terarah kepada ketersediaan pemain untuk bertemu JDT selepas pasukannya berjaya menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan pada aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2), semalam.
“Kebimbangan saya adalah mengenai ketersediaan pemain kerana malam ini boleh nampak bukan kita saja, pasukan lawan (Jeonbuk) pun ada yang kejang dan cedera...jadi yang paling penting sekarang proses pemulihan pemain untuk beberapa hari ini.
“Untuk perlawanan minggu ini (bertemu JDT) kita cuba bagi yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas kemenangan 2-1 Selangor ke atas Joenbuk di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kemenangan semalam membolehkan Selangor merampas kedudukan teratas Kumpulan H dan terus mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini.
Pertembungan Selangor dan JDT menjadi perlawanan tumpuan selepas kedua-dua pasukan ketika ini menduduki dua tempat teratas Liga Super dengan dipisahkan lima mata, namun JDT kurang satu perlawanan berbanding Selangor yang telah beraksi 12 perlawanan.
Ogos lepas, JDT membelasah Selangor 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA musim ini yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di Kuala Lumpur.
Kedua-dua pasukan dijadual bertemu dalam aksi pembukaan musim, perlawanan Sumbangsih Mei lepas namun aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu dibatalkan susulan penarikan diri Selangor dan kemenangan walkover diberikan kepada JDT.
- Bernama