Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Malaysia bakal hilang 16 pingat di Sukan Komanwel Scotland
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 4:25 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Malaysia dijangka kehilangan 16 pingat susulan beberapa sukan prospek digugurkan pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dijadual pada 23 Julai hingga 2 Ogos, 2026.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Malaysia menghormati keputusan dibuat oleh pihak penganjur dan yakin kontinjen negara masih mempunyai sukan lain yang boleh diberikan tumpuan bagi mengutip pingat pada temasya empat tahun sekali itu.

“Jangkaan awal Malaysia hilang 16 pingat dalam sukan yang digugurkan. Kita hormati keputusan penganjur.

“Namun, kita masih ada sukan potensi pingat seperti angkat berat dan boling padang, kita ada kekuatan,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024 di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Hannah Yeoh

Semalam, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah dan menjadikan ia edisi kedua dianjurkan di Scotland selepas 2014.

Berdasarkan CGF, sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan pada edisi itu berbanding 19 jenis sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Sukan yang dipertandingkan iala olahraga dan olahraga para (trek dan padang), renang dan renang para, gimnastik artistik, berbasikal trek dan berbasikal trek para.

Selain itu, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang berkerusi roda 3x3.

Terjun, memanah, badminton, kriket T20, hoki, mendayung, ragbi tujuh sepasukan dan skuasy antara sukan yang tidak dipertandingkan pada edisi 2026.

Sementara itu mengenai Program ISNext 2024 anjuran ISN, Hannah berkata ia merupakan kerjasama strategik antara KBS, ISN dan beberapa universiti awam bagi menyediakan pusat penyediaan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran di peringkat negeri dan wilayah.

“Sebagai contoh, bila adanya pusat satelit dengan kerjasama universiti di Sabah, atlet yang cedera boleh dapatkan perkhidmatan di lokasi berdekatan. Ia bukan saja untuk atlet negara tapi juga atlet negeri,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS