Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sabah tarik diri jadi penganjur bersama Sukan SEA
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 9:21 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

PARLIMEN l Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa Sabah telah memutuskan menarik diri daripada menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, semalam, katanya, keputusan berkenaan adalah kerana negeri itu kekurangan kemudahan yang bersesuaian untuk menganjurkan temasya berprestij itu.

“Kerajaan negeri Sabah yang pada awalnya bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM100,528,975 bagi pengelolaan secara bersama Sukan SEA 2027 telah memutuskan untuk menarik diri kerana kekurangan kemudahan yang bersesuaian. 

“Kementerian Belia dan Sukan juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak swasta dan korporat untuk mendapatkan penajaan dalam bentuk wang tunai dan barangan,” katanya.

Yeoh menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan), mengenai perancangan serta persediaan penganjuran Sukan SEA 2027 dan peruntukan disediakan bagi penganjuran berkaitan mengikut pecahan negeri.

Sebelum ini, dia mengumumkan Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA itu dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi penganjur  bersama Kuala Lumpur.

September lalu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ellron Angin, dilaporkan berkata kerajaan negeri membuat keputusan menimbang semula cadangan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Katanya, mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memutuskan perkara itu selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata penganjuran Sukan SEA 2027 adalah sebanyak RM700 juta dan akan ditanggung secara bersama oleh kerajaan persekutuan, negeri dan badan korporat.

“Komitmen daripada kerajaan negeri adalah sebanyak RM 365 juta dengan masing-masing RM350 juta daripada kerajaan Sarawak dan RM15 juta daripada kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, kos Sukan SEA 2017 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah berjumlah RM608,741,085.

Kerajaan pada 28 Ogos lalu meluluskan cadangan untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027. 

Yeph berkata, kementeriannya berpandangan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 boleh dianjurkan dengan menggunakan pendekatan yang lebih berhemah, minimalis dan bersekala kecil. 

“Kemudahan-kemudahan sedia ada sudah mencukupi untuk tujuan penganjuran dengan kos naik taraf yang lebih ekonomikal berbanding pembinaan venue pertandingan yang baru.

“Pada ketika ini, kementerian sedang dalam proses menubuhkan jawatankuasa pengelola dan sekretariat Sukan SEA 2027 melalui perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, pelbagai kementerian berkaitan dan kerajaan negeri,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS