Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dari gelanggang badminton Taufik masuk 'skuad' Prabowo
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 5:32 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Nama Taufik Hidayat pada suatu ketika dulu pernah menjadi sebutan ramai sebelum dia berada di bawah radar ekoran persaraannya daripada sukan badminton.

Kini nama bekas juara dunia itu dijangka kembali sering disebut-sebut.

Hal itu kerana dia menjadi pilihan presiden baru Indonesia, Prabowo Subianto, untuk menjawat salah satu tugas timbalan menteri dalam Kabinet Merah Putih negara itu.

Kali ini Taufik, 43, ditunjuk sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, sekali gus membantu Ario Bimo Nandito Ariotedjo, 34, yang menjadi menterinya.

Ario Bimo merupakan ahli politik mewakili Golkar.

Pengumuman itu menyaksikan Taufik bakal berada dalam barisan kerajaan Prabowo bagi penggal 2024-2029.

Prabowo mengumumkan pelantikan tersebut di Istana Presiden, Jakarta semalam.

"Taufik Hidayat menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan," kata Prabowo.

Media tempatan pula melaporkan pemain bulu tangkis itu antara salah seorang individu yang dipanggil oleh Prabowo ke kediamannya di Jalan Kertanegara IV, Jakarta Selatan Selasa lalu.

Ia adalah proses yang diambil bekas panglima tentera Indonesia itu sebelum melantik dan mengumumkan senarai kabinetnya.

Taufik merupakan pemenang pingat emas di Sukan Olimpik Athens 2004.

Pada PRU lalu Taufik bertanding sebagai calon anggota Dewan Perwakilan Republik Indonesia mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Bagaimanapun dia yang bertanding untuk kerusi Daerah Pemilihan II Jawa Barat kalah.

Untuk rekod, Dito juga gagal meraih undi yang mencukupi untuk membolehkan dia memasuki parlimen Indonesia.

Dia bertanding mewakili Golkar bagi daerah pemilihan Jakarta I yang turut meliputi Jakarta Timur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS