Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kerajaan biayai atlet para, bukan persatuan sukan - Yeoh
Diterbitkan:  Oct 20, 2024 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Tiada peruntukan untuk Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bukan bermaksud atlet paralimpik tidak mendapat pembiayaan daripada kerajaan, jelas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Yeoh berkata orang ramai perlu membezakan antara majlis atau persatuan sukan dengan atlet.

“Kerajaan menyalurkan dana untuk sukan para melalui dua agensi kita, iaitu Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) serta Majlis Sukan Negara (MSN). Kita membiayai latihan atlet para secara langsung.

“Jangan silap anggap bahawa tidak membiayai majlis atau persatuan bermaksud kita mengabaikan atlet,” katanya dalam satu hantaran di X hari ini.

Yeoh turut memberi contoh bahawa kerajaan membiayai atlet dan bukannya badan sukan, seperti skuad bola sepak Harimau Malaya yang menerima dana untuk latihan, namun bukan Persatuan Bolasepak Malaysia.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kritikan orang ramai selepas memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan menyalurkan dana kepada MPM hari ini.

Kenyataan itu disalah tafsir bahawa kerajaan tidak memberi peruntukan kepada atlet para.

Sebaliknya, Yeoh berkata badan seperti MPM perlu mencari dana sendiri.

“Kalau MPM nak buat (pembangunan atlet para), mereka kena cari dana sendiri dan tak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja untuk keluar duit.

“Malah kerajaan juga tak bagi duit kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) (pembangunan atlet),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam artikel yang sama, Yeoh menyebut Belanjawan 2025 memperuntukkan dana untuk pembangunan atlet para, namun dana itu tidak akan disalurkan kepada MPM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS