Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
RM230 juta akan disalur untuk pembangunan sukan
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Kerajaan terus memperhebat pembangunan sukan negara dengan penyaluran peruntukan lebih RM230 juta menerusi Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara berkenaan meliputi program podium, latihan dan program Road to Gold serta persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.

“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik. Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul emas,“ katanya.

Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, Anwar berkata RM15 juta disediakan kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18  tahun dan bawah 13 tahun dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal dengan pemain,” katanya.

Anwar berkata kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf e-sukan manakala RM1 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan kriket.

Katanya kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan kerajaan melalui Majlis Sukan Negara. 

“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita saudari Pearly dan saudari Thinaah serta beregu lelaki saudara Sze Fei dan saudara Izzuddin yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” katanya.

Dalam membentuk sahsiah mulia dan menangkis perbezaan antara kaum dalam masyarakat, Anwar berkata penganjuran program pemupukan semangat perpaduan serta jati diri akan diperbanyakkan dengan peruntukan RM50 juta.

 "Program komuniti yang menyubur semangat kesukarelawanan akan terus diperkasakan dengan peruntukan RM150 juta.

“Ini antaranya untuk bekerjasama dengan Yayasan GLIC/GLC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu-isu rakyat, selain penganjuran gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah seluruh negara,” katanya.

Beliau turut mengumumkan RM50 juta dana bantuan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggara rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di seluruh negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS