Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khalid nyata sokongan pada 'cai' Abdullah Sani terajui KLFA
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad menyatakan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, yang dicalonkan untuk menerajui badan itu pada pemilihan yang akan berlangsung esok.

Menurut Khalid, sokongan terbukanya itu dinyatakan selepas melihat cai (senarai calon) yang berada satu kem dengan Abdullah Sani serta calon-calon lain yang bertanding.

“Dia (Abdullah Sani) mempunyai wawasan yang sama dengan saya berhubung peranan dan tanggungjawab KLFA serta betapa pentingnya KL City FC dalam membangunkan industri sukan bola sepak di Kuala Lumpur.

“Sambil itu, hubungan politiknya dengan pimpinan kerajaan sedia ada khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim diketahui semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan pemilihan sempena kongres tahunan KLFA akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi merebut jawatan presiden. Selain pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) itu, turut bersaing ialah Naib Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar.

Pertembungan itu disahkan selepas tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup dengan kesemua jawatan bakal dipertandingkan.

Berdasarkan pencalonan, Syed Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM mendahului Abdullah Sani dengan masing-masing meraih 15 dan 12 sokongan.

Abdullah Sani Abdul Hamid

Secara keseluruhan terdapat 27 persatuan berpayung di bawah KLFA.

Abdullah Sani yang menjadi pemangku Presiden KLFA sebelum ini melepasi syarat minimum 40 peratus undian bagi melayakkan dia bertanding.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, tokoh korporat Wong Yeon Chai dan orang lama bola sepak negara, Kamarudin Hassan, akan dicabar oleh pengarah dan penerbit terkenal, Afdlin Shauki yang bergandingan bersama Azril Mat Drus untuk merebut dua slot bagi jawatan tersebut.

Khalid berkata, gandingan barisan kepimpinan dicadangkan Abdullah Sani membabitkan ahli politik, ahli perniagaan dan ahli sukan diyakini mampu meneruskan prestasi cemerlang KL City dan pasukan di bawah jagaan KLFA.

Sumbangan terendah, paling kecil

“Sebagai mantan presiden yang berusaha sejak 2020 untuk melonjakkan prestasi pasukan KL City FC dalam liga bola sepak Malaysia, saya amat mengharapkan perwakilan membuat pilihan tepat supaya prestasi KL City FC di Liga Super dapat terus dilonjakkan sehingga mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Dengan kejayaan di Liga Super sokongan kewangan terhadap KLFA akan dapat ditingkatkan lagi, sama ada dari pihak kerajaan atau swasta,” katanya.

Tambahnya lagi, masalah terbesar yang dihadapi KLFA adalah kewangan, dan sumber utamanya buat masa ini semestinya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebenarnya jelas Khalid, sumbangan DBKL semenjak naiknya kerajaan perpaduan telah bertambah apabila pada 2023 sejumlah RM8 juta diperuntukkan kepada pasukan berkenaan.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding RM5 juta pada 2020, 2021 dan 2022.

“Malangnya atas sebab politiking yang dilakukan sebahagian exco, sumbangan DBKL setakat ini merupakan sumbangan terendah dan terkecil sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

“Ini semua disebabkan politiking kerana pemilihan yang akan diadakan.

“Tahun 2024 bermula dengan sangat pelik apabila tiada apa-apa sumbangan sehingga hujung Mac dan hanya (disalurkan) setelah saya meletak jawatan sebagai presiden KLFA.

“Selepas perletakan jawatan maka RM3 juta diterima tetapi malangnya, sejak itu sehingga sekarang, disumbangkan hanya RM1 juta sebagai tambahan,” kata Khalid.

Justeru Khalid berharap dana RM4 juta lagi dapat disumbangkan untuk menjadikan sumbangan tahunan mencecah RM8 juta seperti tahun lalu.

“Ini akan hanya berlaku dengan adanya hubungan yang rapat antara presiden KLFA dan menteri Wilayah Persekutuan serta datuk bandar yang baru.

“Lebih penting lagi hubungan dengan perdana menteri sendiri. Dalam soal ini kedudukan Abdullah Sani jauh lebih mantap berbanding pihak satu lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS